London: Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi berkata usaha mengembalikan semangat dan mentaliti pasukan menjadi kunci utama dalam menghidupkan semula kebangkitan kelab itu selepas dua musim menghuni kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jurulatih berusia 47 tahun itu yang mengambil alih tugas pada Mac lalu dan membantu kelab mengelak penyingkiran selepas menamatkan saingan satu anak tangga di atas zon penyingkiran berkata, pembelian besar-besaran pada jendela perpindahan musim panas sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan jangka panjang.
Spurs sudah mendapatkan Sandro Tonali, Mateus Fernandes, Jan Paul van Hecke, Andy Robertson, Marcos Senesi, Cole Ramsey dan Martin Dubravka.
“Pasaran perpindahan masih belum selesai. Kami tidak sabar untuk memulakan satu lagi musim dengan sasaran dan keputusan yang berbeza,” kata De Zerbi menerusi saluran YouTube Men in Blazers.
“Kami perlu mencari formula untuk membina pasukan yang lebih kuat berbanding musim-musim lalu supaya kami boleh kembali bersaing di kelompok teratas liga.
“Saya biasanya memikirkan mengenai jiwa, semangat, kesungguhan dan mentaliti pasukan, selain peningkatan yang boleh kami lakukan pada masa depan kerana saya tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada keadaan semasa,” katanya lagi.
Pengendali dari Itali itu berkata beliau mahu penyokong mengenali pasukannya bukan hanya berdasarkan corak permainan, tetapi turut melalui komitmen dan karakter yang ditampilkan pemain.
“Saya mahu apabila kami bermain dalam Liga Perdana Inggeris, orang ramai dapat mengenali jiwa, semangat dan nilai yang ada pada pemain.
“Kualiti pemain sahaja tidak mencukupi. Jika anda tidak memberikan sesuatu yang lebih, sesuatu daripada diri sendiri dan sesuatu yang anda rasakan dalam diri, amat sukar untuk bersaing dengan pasukan terbaik di dunia dan Liga Perdana Inggeris,” katanya.
Tottenham akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang Brentford pada 22 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

