Rosmah gagal cabar lantikan Sri Ram dalam kes solar

Rosmah gagal cabar lantikan Sri Ram dalam kes solar

PUTRAJAYA:  Datin Seri Rosmah Mansor gagal segala usaha untuk mencabar lantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah projek solar selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya bagi mendapat kebenaran merayu.

Panel tiga hakim diketuai  Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim  berpuas hati bahawa permohonan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu gagal memenuhi kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dibenarkan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara berpendapat, persoalan undang-undang yang dikemukakan, bukan pertama kali dibangkitkan di mahkamah tertinggi negara yang memerlukan panel itu mendengar dan memutuskannya.

Mahkamah turut berpuas hati, persoalan undang-undang tersebut juga bukan berbentuk kepentingan awam yang perlu diketengahkan di hadapan panel tersebut.

Isteri bekas Perdana Menteri turut diperintah membayar kos RM30,000 kepada responden. Kehadiran beliau tidak diwajibkan pada prosiding itu.

Dengan keputusan tersebut, rayuan Rosmah untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, akan diteruskan di Mahkamah Rayuan pada tarikh baharu yang akan ditetapkan kemudian manakala pengurusan kes dijadualkan pada 23 April ini.

Rosmah sebelum itu memfailkan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram di Mahkamah Tinggi Jenayah namun ditolak manakala rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan juga tidak dibenarkan.

Terdahulu pasukan peguam bela terdiri daripada peguam-peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah membangkitkan enam persoalan undang-undang dalam permohonan  itu.  

Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin mewakili pihak responden iaitu Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram.

Rosmah memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Jun 2023 yang menolak rayuannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar lantikan mendiang Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes projek solar hibrid.

Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan melalui tiga surat pelantikan bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar adalah terbatal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah berpuas hati Rosmah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman melebihi tempoh masa tiga bulan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Mahkamah Rayuan berpendapat, isteri bekas Perdana Menteri perlu memfailkan permohonan selewat-lewatnya pada 21 Mei 2021, iaitu tarikh fiat ketiga dikeluarkan oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Sebaliknya, Rosmah memfailkan permohonan itu pada 24 Jun 2022 ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei 2022 bahawa relif yang sesuai adalah melalui permohonan sivil.

Mahkamah Rayuan turut berpendapat, Rosmah sepatutnya memfailkan semakan kehakiman dahulu bagi mengelakkan pertindihan dan kepelbagaian tindakan undang-undang dalam usaha mencabar pelantikan Sri Ram.

Rosmah disabitkan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.- UTUSAN

Scroll to Top