Rossa Akui Tekanan Dunia Hiburan Dorong Pembedahan Plastik – “Itu Hak Peribadi, Asalkan Tak Ubah Ciptaan Tuhan”

Rossa Akui Tekanan Dunia Hiburan Dorong Pembedahan Plastik – “Itu Hak Peribadi, Asalkan Tak Ubah Ciptaan Tuhan”

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Rossa, berpegang pada prinsip bahawa setiap individu, sama ada selebriti mahupun orang biasa, berhak memilih untuk melakukan pembedahan plastik selagi tidak mengubah ciptaan Allah secara berlebihan.

Bagi Rossa, keputusan untuk menjalani pembedahan plastik tentu berlandaskan sebab yang kukuh.

“Di zaman ini, bukan hanya artis, malah orang biasa juga ramai yang menjalani pembedahan plastik. Bagi saya, itu adalah hak masing-masing.

“Kadangkala, pembedahan dibuat atas faktor kesihatan. Contohnya mata yang tidak seimbang hingga menggangu keyakinan atau keselesaan.

“Pada pandangan saya, ia tidak salah, asalkan tidak berlebihan. Kalau hidung sudah mancung, tak perlulah dimancungkan lagi,” katanya.

Pelantun lagu popular Ayat-Ayat Cinta itu turut menegaskan pilihan untuk melakukan pembedahan bergantung kepada kemampuan dan pertimbangan masing-masing.

“Ini hak peribadi dan tentunya bergantung pada bajet individu,” tambahnya.

Namun, Rossa tetap mengingatkan segala perubahan yang dilakukan perlulah berpada-pada dan tidak sampai merosakkan anugerah semula jadi dari Allah SWT.

“Yang penting, jangan berlebihan hingga mengubah ciptaan Allah secara drastik,” pesannya ketika ditemui di Saloma, Kuala Lumpur pada Rabu.

Rossa juga tidak menafikan, sebagai insan seni, ada kalanya timbul rasa kecewa apabila masyarakat lebih memandang rupa paras berbanding menghargai karya yang dihasilkan.

“Dalam industri hiburan, tekanan untuk kelihatan sempurna itu memang nyata. Ada yang akhirnya memilih jalan pembedahan plastik demi keyakinan diri.

“Kadang-kadang kami dikecam, dihina, tetapi tetap perlu kuat menerima. Walhal, apa yang lebih kami impikan adalah penerimaan terhadap karya kami,” luahnya.

Mengulas lebih lanjut, Rossa turut meluahkan rasa hormat kepada mereka yang memilih untuk tidak menjalani sebarang pembedahan, kerana baginya, setiap orang berhak menentukan jalan hidup sendiri.

Dalam perkembangan lain, Rossa kini sibuk mempromosikan Konsert Here I Am yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 14 Jun ini.

Menyifatkan konsert ini sebagai bentuk penghargaan terhadap perjalanan hidupnya, Rossa turut bersemangat meraikan kehadiran generasi baharu dalam dunia muzik.

Selain membawa bintang ternama seperti Ariel, konsert itu juga bakal menampilkan beberapa nama besar tempatan seperti MK Clique, peserta One In A Million, dan Ernie Zakri yang akan berkongsi pentas dengannya.

Scroll to Top