Pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal, Janna Nick meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas sokongan dan sumbangan ramai pihak dalam usaha membangunkan Kompleks Tahfiz & Anak Yatim Nurul Jannah yang terletak di Masjid Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.
Menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya, Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner, 30, memaklumkan bahawa selepas siap membina dewan makan dan melakukan kerja-kerja penambakan tanah, kini fokus diberikan kepada kerja-kerja pembaharuan kelas-kelas di pusat tahfiz tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai rakan selebriti tampil memberikan pujian dan sokongan atas usaha murni Janna yang telah mula dirancang sejak tahun 2022.
Dalam pada itu, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak dan bangga melihat perjuangan isteri kepada pelakon Dini Schatzmann ini, khususnya dalam usahanya menyumbang kembali kepada penduduk kampung yang pernah menjadi tempat tinggalnya dari usia 11 tahun hingga ke tingkatan tiga.




