farihad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Siapa sangka, rakaman yang dibuat suka-suka akhirnya membuka peluang yang lebih besar buat penyanyi dari Indonesia, Datuk Seri Rossa apabila single terbaharunya, Sangcheo Badeun Maeum atau The Heart You Hurt bakal membawanya ke Korea Selatan.
Selepas dilancarkan tahun lalu, lagu yang judul asalnya Hati Yang Kau Sakiti dan dirakam Rossa dalam bahasa Korea itu menarik minat salah seorang anggota kumpulan K-pop tersohor, Super Junior iaitu Lee Donghae.
Donghae muncul dalam video muzik lagu berentak melankolik itu yang sudah ditayangkan di YouTube.
Berkongsi berita gembira itu menerusi sidang media virtual baru-baru ini, Rossa atau nama penuh, Sri Rossa Roslaina Handayani ini berkata, Donghae menjadi pilihan kerana mereka saling mengenali, malah bernaung di bawah syarikat pengurusan sama.
“Sebelum ini, saya pernah menjadi penyanyi undangan kumpulan Super Junior ketika mereka mengadakan konsert di Jakarta. Dari situ, kami saling mengenali.
“Kebetulan kami di bawah syarikat pengurusan yang sama iaitu SM Entertainment, jadi urusan untuk merealisasikan projek ini menjadi mudah.
“Cuma tidak dinafikan, sebagai sebuah kumpulan legenda, perlu ada protokol yang perlu dipatuhi dan kata persetujuan setiap anggota kumpulan harus diambil kira. Apa sahaja entri membabitkan Donghae juga perlu mendapat pelepasan daripada pengurusan kumpulan berkenaan.
“Biarpun agak rumit, namun saya gembira kerana Donghae memberi kerjasama sepenuhnya.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah apabila dia sudi memuat naik petikan klip video muzik dalam akaun media sosial sambil menghebahkan pembabitannya dalam video itu,’ kata penyanyi berusia 42 tahun ini kepada BH Online.
Rossa menambah, jika bukan kerana wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, pasti dia dan jejaka kacak itu dapat bertentang mata untuk menjayakan rakaman video muzik lagu yang semakin mendapat tempat di Korea Selatan dan Indonesia.
“Berikutan pandemik, penggambaran video muzik ini dibuat secara berasingan iaitu Donghae melakukan babaknya di Korea Selatan manakala saya di Jakarta dan Bali.
“Disebabkan kami tidak dapat berjumpa, komunikasi dilakukan menerusi media sosial iaitu mesej peribadi dan panggilan video. Usaha ini dibuat untuk menguatkan lagi keserasian supaya kami tidak nampak janggal dalam video berkenaan.
“Daripada segi konsep dan jalan cerita, Donghae terus menyatakan persetujuan tanpa banyak soal. Paling menyeronokkan apabila dia turut memuji cara sebutan bahasa Korea saya yang disifatkan sebagai senang faham,” cerita penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Tegar ini.
Ditanya apakah dia berduet dengan lelaki itu dalam video muzik itu, Rossa memberitahu perancangan untuk berkolaborasi dengan Donghae dalam sebuah karya memang sudah dibincangkan, namun, situasi sekarang tidak mengizinkan.
“Untuk menghasilkan sebuah karya bersama ia memerlukan perancangan rapi dan dalam keadaan pandemik, agak sukar untuk dilaksanakan.
“Justeru, untuk pembikinan video muzik ini, kami hanya tampilkan Donghae sebagai pelakon.
“Marilah kita sama-sama berdoa semoga wabak ini segera berakhir dan hasrat untuk mengembangkan kerjaya di Korea Selatan tercapai,” ujar penyanyi genit ini.
Sama seperti langkah keselamatan yang dilaksanakan di Malaysia, Rossa memberitahu penggiat seni di Indonesia dikenakan syarat ketat jika mahu melakukan penggambaran.
“Syarat sangat ketat iaitu hanya lima orang dibenarkan untuk sesebuah produksi. Sebelum penggambaran, kami juga perlu menjalani ujian calitan. Kami tidak dibenarkan keluar rumah beberapa hari sebelum penggambaran.
“Sebaiknya, kita semua saling menjaga diri kerana kami mahu penggambaran lancar tanpa masalah.
“Mujur di sini tiada larangan untuk merentas negeri, jadi bolehlah kami pergi ke Bali sebagai antara lokasi penggambaran.
“Walaupun mengutamakan soal kesihatan dan keselamatan, namun, ia tidak membataskan usaha kami untuk menghasilkan produk terbaik,” katanya yang turut meraikan sambutan ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni.
© New Straits Times Press (M) Bhd




