KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit sindiket menawarkan bantuan mendapatkan gelaran ‘Datuk’ dari Istana Negara dengan mengenakan bayaran RM150,000.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki iaitu pengarah di sebuah syarikat swasta berkenaan perkara itu.
“Mangsa diperkenalkan oleh kenalannya seorang lelaki dikenali dengan nama panggilan ‘Shahidi’ di Taman Tun Dr Ismail di sini.
“Semasa perjumpaan pada 26 Januari lalu, suspek menawarkan bantuan mendapatkan gelaran Datuk dari Istana Negara dengan harga tawaran RM150,000 kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, mangsa bersetuju dengan tawaran itu dan pada hari sama membuat bayaran tunai berjumlah RM40,000.
Amihizam berkata, suspek memberitahu baki bayaran boleh diselesaikan selepas gelaran Datuk diperoleh oleh pengadu.
Katanya, mangsa dijanjikan gelaran Datuk pada 27 Januari lalu namun suspek gagal menunaikan janji dan memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan berasa diri tertipu.
Sehubungan itu, katanya, polis menahan kedua-dua lelaki yang disyaki di dua lokasi berasingan di Kedah, semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki berumur 48 tahun bekerja sebagai jurujual kereta adalah dalang utama dalam kes ini, yang mana suspek mendakwa pernah bekerja sebagai pengiring peribadi Istana di sebuah negeri dan mengakui telah berurusan dengan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis turut merampas dua telefon bimbit.
Katanya, sekeping Kad Ahli Setia Diraja yang mencurigakan turut dirampas.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




