bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies, 33, mencuri perhatian ramai apabila mendakwa pendapatannya sebagai anak seni mampu mencecah sehingga RM100,000 sebulan.
Dakwaan itu dibuat menerusi satu temu bual yang membincangkan tahap pendapatan secara terbuka, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet.
Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas turut mendakwa sepanjang hampir sedekad bergiat dalam industri hiburan, pelbagai sumber pendapatan berjaya dijananya termasuk menjadi duta jenama, melakukan pemasaran afiliasi, berlakon dan berkolaborasi bersama pelbagai syarikat.
“Pendapatan saya sekitar RM50,000 hingga RM100,000 sebulan.
“Di Instagram saya mempunyai 1.7 juta pengikut, manakala di TikTok lebih 700,000 pengikut,” katanya.
Mengulas gaya hidupnya, bintang drama bersiri Sayang Tak Dikenang itu menegaskan dia lebih mengutamakan kualiti berbanding harga barangan.
“Dengan pendapatan setinggi itu, saya banyak membelanjakan wang untuk penjagaan diri, perbelanjaan hidup dan kos operasi yang agak tinggi.
“Daripada segi pemilihan barangan pula, saya lebih fokus kepada kualiti. Jika sesuatu produk itu sesuai, sudah tentu saya akan membelinya,” katanya.
Bagaimanapun, semakan mendapati video asal temu bual berkenaan sudah diturunkan, namun dimuat naik semula oleh pihak lain di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




