Rumah kongsi dan rumah kedai diserbu JIM

Rumah kongsi dan rumah kedai diserbu JIM

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tindakan segelintir warga asing yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, tidak berjaya apabila mereka ditahan.

Seramai 35 warga asing akhirnya berjaya ditahan dalam operasi di sekitar daerah ini yang dibuat di sembilan premis yang juga rumah kongsi dan rumah kedai, kelmarin.

Dalam Ops Sapu yang dijalankan 12.30 tengah malam itu, warga asing yang ditahan terdiri daripada mereka warga Indonesia, India, Myanmar dan Pakistan.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia; tiga lelaki dan seorang wanita warga India; seorang lelaki warga Myanmar dan seorang lagi lelaki warga Pakistan.

“Semua yang ditahan berusia antara 17 tahun hingga 60 tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Pada masa sama, Mohd Rusdi berkata, tindakan penguatkuasaan yang diambil itu adalah berikutan pihaknya menerima maklumat dan aduan awam mendakwa terdapat warga asing yang tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia serta tinggal lebih masa.

“Kita akan terus aktif memerangi dan membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan pemilik premis serta individu yang membenarkan migran haram tinggal di mana-mana premis serta melindungi Pati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top