Lebih 200,000 ahli BERSATU kini bersama Hamzah – Rahim Thamby Chik

Lebih 200,000 ahli BERSATU kini bersama Hamzah – Rahim Thamby Chik

saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi BERSATU Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli parti itu sudah keluar atau dijangka meninggalkan BERSATU untuk menyertai perjuangan ‘Reset’ yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu bagaimanapun menolak dakwaan Hamzah yang juga Timbalan Presiden BERSATU dan Ketua Pembangkang menjadi punca perpecahan dalam parti berkenaan.

Sebaliknya, beliau mendakwa penghijrahan besar-besaran ahli berlaku disebabkan budaya dalaman parti yang semakin mengecewakan akar umbi.

“Apabila sesebuah parti politik mula beroperasi seperti syarikat sendirian berhad, memilih bulu dalam tindakan disiplin terhadap ahli, membenarkan pemimpin yang kalah diangkat semula, bertolak ansur terhadap pemimpin yang mempunyai rekod moral meragukan serta memandang ringan isu rasuah, maka secara semula jadi ahli akan mula membenci budaya seperti ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Media hari ini melaporkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat semalam, antara lain dikatakan menerima laporan pesuruhjaya negeri mengenai gerakan akar umbi BERSATU yang dilihat cenderung bersama Team Reset pimpinan Hamzah.

Beberapa pimpinan negeri PAS melaporkan perkembangan itu turut memberi kesan langsung kepada kestabilan dan kekuatan jentera Perikatan Nasional (PN) pada peringkat akar umbi, khususnya dalam menghadapi persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata, budaya memuja pemimpin secara melampau selain menganggap teguran terhadap parti sebagai satu bentuk pengkhianatan turut menjadi faktor utama ahli hilang keyakinan.

“Perjuangan parti untuk rakyat juga dilihat semakin terpesong daripada matlamat asal penubuhannya.

“Saya berkata demikian kerana selepas hampir 50 tahun berada dalam dunia politik, saya sendiri merasakan BERSATU tidak akan pergi jauh dengan budaya negatif dan destruktif yang menjadi asas kepada parti ketika ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan Hamzah tidak sepatutnya dipersalahkan atas perkembangan yang berlaku dalam parti.

“Jadi bukan Datuk Seri Hamzah yang menghasut untuk memecahkan BERSATU.

“Apa yang berlaku dalam parti sendiri serta cara ia diuruskan itulah yang menyebabkan penghijrahan besar-besaran ahli daripada BERSATU,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top