Natasha Hudson bahagia urus anak, bisnes seramik di Langkawi

Natasha Hudson bahagia urus anak, bisnes seramik di Langkawi

Langkawi : Pelakon Natasha Hudson, 44, bersyukur atas kelahiran cahaya mata lelaki pertamanya pada 25 April lalu yang disifatkan sebagai rezeki dan anugerah tidak disangka dalam hidup.

Natasha atau nama sebenar, Natasha Liana Mohd Redzuan, berkata kehadiran bayi lelaki yang diberi nama Rylo itu melengkapkan keluarga kecilnya dengan sepasang cahaya mata.

Natasha yang kini menetap di sini, bersama suami, Muhammad Harits Jasmin atau mesra disapa Jay, masih dalam fasa berpantang.

“Saya bersalin pada 25 April lalu, jadi lagi beberapa hari sahaja lagi akan habis tempoh berpantang… Alhamdulillah.

“Ini adalah anak lelaki pertama saya, sesuatu yang memang tidak dirancang. Orang kata semuanya berlaku ada hikmah dan saya memang sangat gembira,” katanya kepada BH Online.

Pelakon dan model berdarah kacukan Melayu-Australia itu berkata, sepanjang berpantang dia lebih selesa menghabiskan masa di rumah, selain menguruskan sendiri keperluan harian anak.

Pada masa sama, Natasha bersyukur kehidupan selepas bersalin lancar dan dipermudahkan segala urusannya.

“Saya masih dalam tempoh berpantang Jadi apabila masuk fasa ini, memang saya jaga betul-betul. Saya tidak keluar mana-mana dan lebih banyak duduk di rumah sahaja.

“Alhamdulillah, semuanya masih boleh diuruskan sebab saya memang buat semuanya sendiri termasuk memasak. Memang kebanyakan masa saya hanya di rumah.

“Kakaknya (anak pertama), Kaia banyak meluangkan masa dengan ayahnya di pantai. Tidak sangka masa berlalu begitu cepat kerana tempoh berpantang pun tak lama lagi selesai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Natasha mengakui masih merindui dunia lakonan meskipun kini sibuk dengan perniagaan seramik dan tembikar di studio miliknya.

“Sudah tentu saya rindu untuk berlakon. Memang ada sahaja tawaran yang datang.

“Kalau tidak silap, kerja lakonan terakhir saya kira-kira tiga tahun lalu bersama RTM dan kebetulan penggambaran dibuat di Langkawi serta Kuala Lumpur.

“Saya rasa tawaran yang datang kadang-kadang bukan pada waktu yang sesuai atau wataknya tidak kena dengan saya,” katanya.

Pada 25 April lalu, Natasha dan Jay menyambut kelahiran cahaya mata kedua mereka dengan berat 3.25 kilogram (kg) pada jam 1.15 petang.

Natasha yang mendirikan rumah tangga bersama Jay pada 28 Mac 2022 dikurniakan cahaya mata perempuan yang diberi nama Kaia, 2.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Natasha dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Neesa Helen, Naeema Kalila dan Faatimah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top