'Runner' dadah warga Singapura ditahan

'Runner' dadah warga Singapura ditahan

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Polis Johor menahan lelaki warga Singapura yang berperanan sebagai ‘runner’ dadah dan merampas hampir dua kilogram (kg) barang larangan itu di pangsapuri di Forest City di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata,

pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik melakukan serbuan itu pada 8.40 malam, Rabu lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 39 tahun dan menyewa premis itu sudah beroperasi sejak Julai tahun lalu.

“Kita merampas 1.7kg heroin bernilai RM13,722 dan 67.13 gram syabu bernilai RM7,384. Turut disita kereta jenis Audi A5 dan satu jam bernilai RM32,550.

“Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM53,656,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut suspek didapati memperoleh dadah dari negara ini sebelum menjadi ‘runner’ dan mengedarkannya ke pasaran luar negara.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan itu.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek ditahan reman selama seminggu bermula 12 Februari hingga esok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top