Russel layak ke separuh akhir pada penampilan sulung di Sukan Komanwel

BIRMINGHAM – Pemegang rekod 200 meter (m) kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib mencapai matlamatnya pada penampilan sulung di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila layak ke pusingan separuh akhir  acara 200m lelaki, esok.

Russel, yang berpangkalan di Australia, merakamkan 21.13 saat (s) untuk muncul pelari kedua terpantas pada pusingan pertama saringan ketujuh di belakang pemenang dari Kenya, Kiviasi Asamba (20.76s) di Stadium Alexander.

Hanya dua pelari terpantas dalam setiap saringan layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun, pencapaian pelari berdarah kacukan Malaysia-Australia itu jauh daripada rekod kebangsaan 20.77s miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Klasik Queensland, Australia, pada 2019.

Atlet berusia 24 tahun itu menyifatkan prestasinya ‘berkarat’, memandangkan ini adalah aksi kompetitif pertamanya selepas kali terakhir menyertai kejohanan di Brisbane, Australia, Mac lalu. – MalaysiaGazette