Piala TYT: Melaka FC uji Jurong FC

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Empat pasukan bertanding bagi merebut Kejohanan Bolasepak Piala Yang di-Pertua Negeri Melaka, (TYT) Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam bermula hari ini di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Presiden Melaka FC (MFC) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pasukan berkenaan membabitkan tiga kelab luar iaitu Jurong FC, Singapura; Persik Kediri, Indonesia dan PPCFC, Kemboja serta tuan rumah MFC.

Katanya, MFC juga menyasarkan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan sebagai acara tahunan dengan lebih banyak pasukan antarabangsa menyertainya pada edisi akan datang.

“Kejohanan ini dianjurkan buat pertama kali sempena sambutan kelahiran Tuan Yang Terutama (TYT) diharap menjadi antara yang terbaik yang pernah diadakan.

“Malah penganjuran kejohanan bukan sekadar memberi pendedahan kepada MFC untuk mengendalikan pertandingan bertaraf antarabangsa tetapi menjadi platform memperkukuh hubungan antara kelab dari rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran di Ujong Pasir yang turut dihadiri Jurulatih Melaka FC, E Elavarasan dan Ketua Pasukan MFC, Khairul Fahmi Che Mat. 

Dalam masa sama dia yakin kejohanan pentas menguji persiapan pasukan MFC menjelang aksi liga Super serta semua pasukan di pentas liga di negara masing-masing.

Sementara itu, Elavarasan berkata, kejohanan terbabit diakui medan membentuk pasukan terbaik bagi aksi Liga Super kelak.

Sehubungan itu, dia mahu pemain membuktikan keupayaan, kemahiran dan persefahaman sekali gus ruang untuknya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki.

Melaka dijadualkan berdepan Jurong FC pada aksi pembukaan malam ini di Stadium Hang Jebat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top