London: Bekas profesor Universiti Cambridge yang menjadi perhatian susulan kontroversi dakwaan plagiat, Jason Arday, ditemukan meninggal dunia di sini, semalam, lapor BBC.
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah kediaman di Battersea, selatan London, pada petang Jumaat.
Arday meletakkan jawatan sebagai Profesor Sosiologi Pendidikan di Universiti Cambridge minggu lalu susulan dakwaan plagiat dan persoalan mengenai beberapa pencapaiannya, namun beliau menafikan dakwaan berkenaan.
Keluarga Arday dalam satu kenyataan berkata, mereka terkejut dan amat berdukacita atas kehilangan insan tersayang.
“Kempen maklumat palsu ini terlalu berat buat Jason, seorang lelaki yang lembut hati dan sentiasa mahu melihat kebaikan dalam diri setiap orang,” katanya.
Pada awal pagi Jumaat, pegawai polis dipanggil ke kediaman di Battersea selepas menerima laporan daripada Perkhidmatan Ambulans London.
Dalam satu kenyataan, Polis Metropolitan berkata, kematian Arday ketika ini diklasifikasikan sebagai tidak dijangka namun, dipercayai tidak mempunyai unsur mencurigakan.
Naib Canselor Universiti Cambridge, Prof Deborah Prentice berkata, pihak universiti amat berdukacita mendengar berita mengenai kematian Arday.
“Takziah kami tujukan kepada keluarga dan rakan-rakan Jason Arday dalam tempoh yang amat sukar ini,” katanya.
Setiausaha Pendidikan, Lucy Powell berkata, beliau amat terkejut dan sedih mendengar berita kematian itu selain menggesa orang ramai supaya mengingati bahawa terdapat insan dan keluarga yang terkesan di sebalik kontroversi berkenaan.
Arday, 41, menafikan dakwaan plagiat namun mengakui terdapat beberapa kesilapan dalam hasil kerjanya. Minggu lalu, beliau berkata kontroversi itu menyebabkan dirinya mendapat perhatian awam yang semakin meluas serta berdepan serangan peribadi berterusan.
Beliau menjelaskan beberapa kesilapan dalam karya akademik awalnya berpunca daripada masalah autisme yang dialaminya menyebabkan dia bergantung pada kaedah peniruan untuk memahami maklumat.
Pelantikan Arday sebagai profesor kulit hitam termuda dalam sejarah Universiti Cambridge pada usia 37 tahun pada 2023 sebelum ini diraikan sebagai satu detik bersejarah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
