Sabah, Terengganu tunggu status Fergus, Ubai

Sabah, Terengganu tunggu status Fergus, Ubai

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu pelepasan pemain ke skuad kebangsaan kembali menjadi tumpuan menjelang saingan Kelayakan Piala Asia September ini apabila Sabah FC dan Terengganu FC masih menunggu perkembangan lanjut mengenai status dua tonggak masing-masing membabitkan Fergus Tierney dan Ubaidullah Shamsul Fazili.

Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, pihaknya belum membuat keputusan muktamad mengenai Fergus yang dikatakan mendapat panggilan daripada jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, Nafuzi Zain.

Menurutnya, Sabah tidak pernah menolak panggilan skuad kebangsaan, namun segala keputusan perlu mengambil kira faktor kecergasan serta laporan teknikal daripada barisan jurulatih pasukan.

“Setakat ini saya belum menerima laporan penuh daripada jurulatih mengenai tahap kecergasan Fergus. Saya akan dapatkan maklumat terkini sebelum apa-apa keputusan dibuat,” katanya.

Jelas Joh, Sabah FC menghormati skuad negara dan sentiasa memberi sokongan, tetapi pada masa sama perlu memastikan kelab juga tidak terjejas memandangkan saingan liga masih berlangsung.

Sementara itu, Terengganu FC turut berdepan situasi hampir sama apabila jurulatih, Badrul Afzan Razali mengesahkan tonggak muda mereka, Ubai, masih dalam proses pemulihan kecederaan ringan.

Katanya, untuk aksi persahabatan antarabangsa, beliau mungkin mengekalkan Ubai bersama Terengganu kerana pasukan memerlukannya bagi dua aksi penting menentang DPMM dan Selangor.

Namun bagi kempen Kelayakan Piala Asia bulan depan, Badrul menegaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk melepaskan pemain itu sekiranya pulih sepenuhnya dan mendapat lampu hijau daripada pegawai perubatan.

“Saya sudah berbincang dengan jurulatih kebangsaan. Untuk aksi persahabatan mungkin Ubai bersama Terengganu, tetapi bagi kelayakan insya-Allah kami akan lepaskan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa keadaan kecederaan Ubai akan menjadi faktor utama kerana Terengganu tidak mahu mengambil risiko sekiranya tonggak mudanya itu belum benar-benar pulih.

Tierney, Ubaidullah dan Aliff Izwan Yuslan (Selangor) sebelum ini menjadi watak penting Harimau Malaya B-23 dalam saingan Piala ASEAN B-23 di Jakarta bulan lalu dan ketiadaan nama mereka dalam senarai awal 25 pemain ke Bangkok menimbulkan persoalan penyokong bola sepak tanah air.

Skuad negara ketika ini berada di Bangkok dalam rangka persiapan awal sebelum membuka tirai Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 bertemu Lubnan pada 3 September, diikuti Mongolia (6 September) dan tuan rumah Thailand (9 September).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top