MADRID: Aryna Sabalenka mengakui masih mencari sentuhan terbaik di gelanggang tanah liat biarpun berjaya membuka kempen dengan kemenangan di Terbuka Madrid semalam.
Pemain No.1 dunia itu tidak berselindung apabila menilai prestasinya sendiri sebagai belum memuaskan, terutama selepas melalui tempoh rehat panjang selepas menjuarai Indian Wells Open dan Terbuka Miami.
“Saya sangat gembira dapat mulakan dengan kemenangan, walaupun mungkin permainan saya tidak begitu bagus.
“Namun saya rasa dengan setiap permainan, saya semakin baik, jadi saya harap dalam perlawanan seterusnya saya dapat tampil dengan prestasi yang lebih baik,” kata Sabalenka.
Dalam perlawanan tersebut, Sabalenka melakukan 26 kesilapan sebelum menewaskan Peyton Stearns 7-5, 6-3 untuk meneruskan rentak kemenangan kepada 13 perlawanan berturut-turut musim ini.
Kemenangan itu turut mempertemukan juara bertahan tersebut dengan pemain Romania, Jaqueline Cristian dalam aksi seterusnya yang dijangka menjadi ujian lebih mencabar.
Sementara itu, jaguh Poland, Iga Swiatek mempamerkan aksi lebih meyakinkan apabila hanya memerlukan 61 minit untuk menundukkan Daria Snigur sekali gus memberi isyarat kesediaannya mencabar kejuaraan.
“Saya sangat gembira, Madrid adalah tempat yang istimewa untuk bermain bukan sahaja kerana status kejohanan tetapi juga keadaannya, jadi saya puas hati kerana dapat menyesuaikan diri dengan baik dan kekal konsisten dengan permainan sendiri,” kata Swiatek. – AGENSI




