Sabhi Saddi bersara tahun depan

Sabhi Saddi bersara tahun depan

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Sabhi Saddi membuat keputusan untuk bersara daripada dunia hiburan pada tahun 2026 selepas lebih sedekad mewarnai industri muzik tempatan.

Sabhi, 41, berkata keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan perniagaan yang diusahakan.

“Sebenarnya saya sudah tidak lagi mempunyai ‘mood’ dalam industri, tetapi saya cuba untuk bertahan. Bukan kerana tiada tawaran, saya masih menerima jemputan persembahan tertutup seperti majlis perkahwinan.

“Insya-Allah, saya akan keluarkan dua single tahun ini ciptaan Farouk Roman. Saya merancang untuk bersara sepenuhnya pada tahun depan dan mungkin 2026 adalah masa terbaik untuk saya meninggalkan dunia seni,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sabhi, dia bakal melancarkan single baharu pada Mei ini dan satu lagi single pada November depan sebagai tanda penghargaan terakhir buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.

“Tahun ini saya akan ‘all out’. Kalau lagu itu berjaya, Alhamdulillah saya tinggalkan industri dengan cara yang baik. Jika sebaliknya, saya reda dan bersyukur dengan apa yang telah saya capai,” katanya.

Tambah Sabhi, keputusan ini dibuat kerana dia mahu lebih fokus kepada perkara peribadi, terutama apabila semakin meningkat usia.

“Saya rasa cukuplah. Banyak bakat baharu yang ada sekarang. Saya sudah memasuki usia 41 tahun dan bila-bila masa saya boleh pergi (meninggal dunia),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabhi memberitahu dia bakal terbabit dalam program Selangor Havoc Raya Fest 2025.

Acara yang berlangsung di Setia City Convention Centre (SACC) itu bakal berlangsung selama 108 jam tanpa henti bermula 21 hingga 25 Mac ini.

Acara itu bakal mencatat sejarah tersendiri apabila melancarkan lagu raya pertama dalam tempoh enam tahun penganjuran acara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top