KUALA LUMPUR: Penyerang berpengalaman, Safee Sali menyifatkan peminat bola sepak tanah air terpedaya dengan projek naturalisasi hingga meletakkan harapan terlalu tinggi ke atas skuad Harimau Malaya.
Menerusi satu coretan pada akuan Facebook miliknya, Safee berkata kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi sebenarnya sudah dijangka berdasarkan pengalamannya bermain dengan pasukan negara Timur Tengah.
“Memang bukan mudah untuk bermain dengan ‘Pak Arab’.. Sedikit kealpaan akan di hukum.. Main pula di tempat dan padang mereka.
“Boleh saya katakan, kita semua hanya terpedaya dengan skuad dan projek “naturalisasi” yang di buat, membuatkan kita semua percaya dan meletakkan harapan yg terlalu tinggi.
“Apa-apa pun masih ada dua lagi perlawanan yang sangat penting dan saya tetap yakin pemain tempatan kita jika di beri peluang dan kepercayaan, pasukan kita boleh menang dan bermain mati-matian untuk nama negara.
“Kalau ikutkan hati pemain, esok juga nak main demi membalas kepercayaan dan membuktikan kita bukanlah seperti apa yang peminat fikiran.
“Bukan masa untuk angkat bendera putih, masih ada peluang. Kita, Vietnam dan Thailand tidak jauh berbeza. Insyaallah kita boleh menang,” tulisnya yang turut memuat naik coretan itu di Instagram.
Kekalahan 0-4 Harimau Malaya di tangan UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe jatuh ke tangga keempat Kumpulan G, namun berkongsi sembilan mata bersama UAE dan Thailand yang menghuni kedudukan kedua dan ketiga.
Susulan dari kekalahan itu, pemain naturalisasi, Guilherme De Paula menjadi sasaran utama kecaman peminat dengan ada yang menggesa kerakyatannya ditarik balik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



