Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak bersikap terlalu angkuh, sambil mendakwa UMNO masih memerlukan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memulihkan imej parti serta mengekalkan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Memetik laporan MalaysiaGazette, menurut Saifuddin, tindakan beberapa pemimpin kanan UMNO yang segera menggesa Perdana Menteri memecat menteri dan timbalan menteri daripada parti itu susulan teguran mengenai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan secara tidak langsung menunjukkan teguran tersebut mempunyai asas.
“Teguran Perdana Menteri amat jelas ditujukan kepada mereka yang menyerang Kerajaan Perpaduan. Agak menghairankan apabila ramai pemimpin kanan UMNO begitu responsif meminta Perdana Menteri menggunakan kuasa beliau untuk menggugurkan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO.
“Reaksi itu seolah-olah mengesahkan bahawa teguran Perdana Menteri itu memang berasas malah secara tidak langsung mengakui wujud serangan bawah tanah terhadap komponen dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata, teguran yang diberikan Anwar bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara peribadi, sebaliknya bertujuan mengelakkan pergeseran di peringkat nasional supaya Kerajaan Madani dapat terus memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara.
Mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam, Saifuddin mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu tidak sepatutnya bercakap dengan nada angkuh seolah-olah UMNO sudah kembali memperoleh sokongan padu daripada orang Melayu.
“Apabila nada Ahmad Zahid kedengaran angkuh kerana menganggap UMNO sudah mendapat sokongan orang Melayu, itu tidak betul.
“Monkey see, monkey do. Sebab itu pemimpin bawahan UMNO semakin galak memekik dan menyerang,” tegasnya.
Saifuddin turut mendakwa UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti itu masih bergantung kepada kepimpinan Perdana Menteri untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya.
“Sedar diri. Tanpa Perdana Menteri, UMNO ibarat melukut di tepi gantang. UMNO diberi peluang memulihkan imej apabila diberikan pelbagai kementerian penting. Ahmad Zahid sendiri semalam berucap berlatarbelakangkan logo Kemas, belum lagi tanggungjawab menguruskan Felda,” jelasnya.
Beliau juga mendakwa UMNO tidak berupaya mengangkat agenda penyatuan Melayu tanpa sokongan PAS.
SEREMBAN, 21 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kemas bersama Kepimpinan Tertinggi di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat Kg Pantai hari ini.
–fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
“Malah tanpa Pas, tiada siapa pun memandang UMNO. UMNO tidak berjaya menyatukan orang Melayu. Dengan retorik penyatuan yang dibawa Pas, barulah sebahagian orang Melayu kembali memberi perhatian kepada UMNO,” tegasnya.
Dalam masa sama, Saifuddin berkata Ahmad Zahid seharusnya bersyukur kerana tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Patut bersyukur kerana Ahmad Zahid bernasib baik tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika zaman Tun Dr Mahathir. Ketika itu, kena ISA pun beberapa hari sahaja,” ujarnya.
Mengimbau krisis politik pada 1998, beliau berkata keadaan ketika itu berbeza dengan situasi semasa kerana rakyat kini mempunyai akses kepada pelbagai saluran maklumat.
Artikel lain: Jangan positif sangat! PAS sentiasa ubah naratif politik demi kuasa – Zahid Hamidi
“1998 adalah cerita yang berbeza. Zaman pemimpin dijatuhkan melalui tikam-menikam dan jalan belakang telah berlalu. Ketika itu tanpa media sosial pun hampir tumbang Mahazalim. Kali ini, jika perlu, kami akan melawan habis-habisan.
“Kami yakin rakyat akan bersama-sama mempertahankan Perdana Menteri, demokrasi dan kestabilan negara,” tambahnya lagi.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan seolah-olah mencabar Perdana Menteri supaya memecat menteri dan timbalan menteri daripada UMNO sekiranya tidak bersetuju dengan kerjasama parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) dan PAS pada PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas peringatan Anwar yang meminta semua menteri dan timbalan menteri daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengelakkan serangan sesama sendiri sepanjang tempoh kempen bagi memastikan kerajaan terus memberi tumpuan kepada pentadbiran negara.
Sumber: MalaysiaGazette (Kasthuri Jeevendran)




