Network School buka kampus di Kazakhstan selepas lesen operasi di Johor dibatalkan

Network School buka kampus di Kazakhstan selepas lesen operasi di Johor dibatalkan

SHAH ALAM – Network School yang sebelum ini beroperasi di Forest City, Johor bakal membuka kampus baharu di Kazakhstan selepas pembatalan lesen perniagaannya oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang berkuat kuasa pada Rabu.

Pengasas Network School, Balaji Srinivasan turut mengumumkan satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara syarikatnya dengan Republik Kazakhstan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, kampus baharu itu akan menjadi hab yang menggalakkan semangat tekno-optimisme di peringkat global menerusi beberapa perkara.

“Antaranya kemudahan proses visa yang dipercepatkan, pemindahan domisil korporat (redomiciliation) yang dipermudah dan usaha aktif untuk menarik bakat-bakat terbaik dari seluruh dunia.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Republik Kazakhstan dan Network School,” ulasnya.

Sebelum ini, MBIP mengumumkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) dibatalkan dan mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan warga Israel sertai Network School di Forest City, Onn Hafiz gesa siasatan menyeluruh

Syabas rakyat Malaysia prihatin tentang Network School

Batal lesen, permit Network School jika langgar undang-undang – Tunku Mahkota Ismail

Network School didapati langgar syarat pelesenan

Network School tangguh pelaburan baharu di Malaysia, pengasas mohon jaminan kerajaan

Isu Network School: Ahli Kongres AS desak semak hubungan AS – Malaysia

Antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuk menjalankan operasi tanpa lesen yang sah bagi salah satu premis.

Kerajaan Johor turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan MBIP dan menegaskan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan undang-undang serta hasil penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan dan representasi yang dikemukakan pihak syarikat.

Sementara itu, Kementerian Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital Kazakhstan memberitahu, MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital negara itu, Zhaslan Madiyev bersama Balaji.

“Ia merupakan kerjasama strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi, keusahawanan teknologi, dan pembangunan modal insan,” ulasnya.

 

 

Scroll to Top