LIVERPOOL: Mohamed Salah bangga dapat meledak gol ke-150 dirinya untuk Liverpool selepas penyerang Mesir itu mencetus kemenangan 3-1 ke atas Norwich.
Skuad kendalian Jurgen Klopp ketinggalan apabila rembatan Milot Rashica meletakkan Norwich di depan pada awal babak kedua aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield.
Liverpool menyamakan kedudukan menerusi Sadio Mane sebelum mendahului permainan menerusi Salah. Bintang Liverpool itu adalah pemain ke-10 mencapai 150 gol untuk kelab dan yang kedua terpantas melakukannya selepas Roger Hunt.
Luis Diaz menjaringkan gol pertamanya untuk Liverpool selepas empat penampilan sejak perpindahan ke Anfield dari Porto bulan lalu.
Salah sudah meledak 25 gol dalam 30 penampilannya musim ini, termasuk 17 dalam 23 aksi liga, manakala The Reds memenangi lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.
“Ia terasa cukup hebat. Saya bangga dapat menjaringkan gol untuk kelab ini dan paling penting memenangi perlawanan dan itu yang kami lakukan hari ini.
“Kami sedar apabila anda bersaing dengan City yang biasanya menang perlawanan mereka, kami perlu fokus kepada diri sendiri dan lihat apa yang terjadi di akhir musim,” kata Salah.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool terus mengejar pendahulu liga Manchester City yang kini hanya enam mata di depan mereka dan bermain lebih satu perlawanan selepas tewas kepada Tottenham 3-2.
Liverpool berpeluang merapatkan jurang kepada tiga mata apabila bertemu Leeds Rabu ini. – AFP
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd