Sanggar hunian

Sanggar hunian

asyikin.mat@hmetro.com.my

RUMAH ini sarat elemen kesenian Melayu klasik dan mampu membuatkan sesiapa yang memandang terpukau dengan keindahan seni binanya.

Menarik mengenai rumah itu apabila ia dibina semula menggunakan bahan terpakai daripada tiga rumah tradisional Melayu lama yang sudah usang dan terbiar.

Kediaman yang terletak di Desa Lestari Simpang Bekoh Jasin, Melaka adalah milik Maszuli Marito, 51, selepas ditransformasi menjadi sebuah rumah ‘agam’ klasik yang cantik, unik dan eksklusif.

Maszuli berkata, dia seorang peminat dan pengumpul barangan antik. Sejak usia muda dia sudah memasang impian untuk membina rumah kayu klasik mengikut rekaannya sendiri.

Pembinaan rumah itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dan ia adalah sepenuhnya hasil sentuhan tangan Maszuli yang dibantu tiga pekerja warga asing.

“Saya mengambil masa agak lama untuk membina semula rumah ini kerana ia membabitkan proses yang rumit.

“Selain membuka satu persatu daripada binaan asal, kayu ini perlu dirawat dan cat semua sebelum dipasang pada binaan baharu,” katanya.

Katanya, tiga rumah asal ini dibeli daripada pemilik berbeza sekitar Melaka dengan harga keseluruhan RM35,000.

“Walaupun kayu ini jenis berkualiti tinggi seperti resak dan seraya tetapi sebahagian kayu perlu dirawat kerana ada yang mengalami kerosakan.

“Ia juga untuk ketahanan lebih panjang disebabkan usianya (kayu itu) sudah melebihiratusan tahun,” katanya.

Maszuli berkata, oleh kerana lokasi rumahnya terletak di sempadan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, konsep pembinaan rumahnya itu menggabungkan seni seni budaya negeri-negeri berkenaan.

Katanya lagi, ukiran kayu pula adalah daripada rumah lama yang mana 50 peratus bermotifkan bunga cengkih.

“Saya ada membuat tambahan ukiran yang moden tetapi masih mengekalkan motif sama (bunga cengkih) untuk corak sekata.

“Rumah ini berkeluasan 70 x 40 kaki persegi dibina di atas tanah berkeluasan 0.8 hektar.

“Kediaman ini mempunyai serambi, ruang tamu, beranda, dapur dan disambung dengan binaan tiga tingkat yang dikhaskan untuk bilik tidur pada tingkat pertama serta kedua.

“Saya bersama isteri dan empat anak berpindah menetap di rumah ini tahun lalu. Sebelum ini rumah itu dijadikan inap desa,” katanya.

Tambahnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia menjadikan belakang rumah itu dengan menanam durian.

“Saya dilahirkan tahun 1970-an jadi, saya mahu mewujudkan semula suasana pada zaman itu yang tiada pencemaran bunyi dan alam.

“Sebaliknya persekitaran dimeriahkan dengan bunyi asli seperti kokokan ayam, kicauan burung dan suara unggas lain. Suasana ini sangat menggamitkenangan silam,” katanya.

Katanya, pengalaman selama enam tahun di Indonesia banyak mendedahkannya kepada rekaan rumah klasik dan memberi ilham dalam pembinaan rumah itu.

“Keunikan lain rumah ini ialah pada landskapnya yang menggunakan bongkah batu diambil dari ladang kelapa sawit sebagai hiasan.

“Saya menamakan kediaman ini Sanggar Hunian.Ia adalah perkataan Melayu klasik yang bermaksud tempat persinggahan dan kediaman.

“Masih ingat lagi, saya mengambil masa sebulan untuk mendapatkan dua perkataan ini. Namun sebelum itu terlebih dahulu merujuk mufti mengenai maksudnya kerana bimbang sesuatu yang boleh melanggar akidah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top