Sangkaan dan tawaqquf

AYAT Allah jelas. Ayat 12 Surah Al-Hujurat menyaran kita menjauhkan sangkaan kerana sebahagiannya adalah dosa:

Advertisement

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sebahagian dari sangkaan itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”.

Suruhannya mudah, praktisnya amat susah. Apatah lagi dalam era di mana sangkaan dan tohmahan boleh disampaikan tanpa berkata-kata. Agama mengajar untuk berdiam diri tatkala kita melihat atau mendengar sesuatu yang tidak pasti.

Sesetengah ulamak mengungkapkan, sekalipun kalian melihat lelaki dan wanita bukan-mahram keluar dari satu tempat, jangan terus disangka maksiat atau zina telah berlaku. Begitu adab dalam mematuhi ayat 12 Surah Al-Hujurat.

Dalam fiqh, ulamak akan berdiam diri dari mengeluar hukum sekiranya baginya belum pasti asasnya. Atau belum lengkap kajiannya. Ia dipanggil ‘Tawaqquf’. Ia lebih dekat dengan takwa daripada berfatwa tanpa asas yang kuat. 

Apatah lagi menghukum tanpa usul periksa. Dalam dunia media sosial hari ini, terlalu banyak sangkaan. Hingga ahli agama yang jujur, yang ada Allah dalam hatinya juga tidak terlepas darinya. Kerana membuat sangkaan itu semudah menaip sambil lalu, melakar kartun sambil minum, dan berkongsi cerita sambil rehat santai.

Satu jari menekan, berbondong-bondong sangkaan disebarkan. Ada baiknya, dalam banyak perkara yang kita tidak pasti benar salahnya, kita ‘bertawaqquf’. Tunggu dahulu sebelum menghukum, kalaupun perlu menghukum.

Sekali lagi, ulamak itu (yang benar) ada Allah dalam hatinya. Ada amalan tersembunyi yang menjernihkan air mukanya. Ada hubungan suci dengan Tuhannya ketika manusia lain sedang lena. Tawaqquflah dari menghina. Kerana gelojoh dan terburu-buru dalam melampiaskan sangkaan kepada orang yang dekat dengan Tuhan, takut-takut membawa dosa.

Setelah segalanya pasti, dan kebobrokan itu jelas melanggar hukum, maka tegurlah dengan bijaksana. Sekiranya ia hanya berbeza pendapat dan fikrah, lawanlah dengan hujah, bukan dengan sumpah seranah.

Wallahu’alam

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 6/5/2021