SANGKAL TARIF 47%

SANGKAL  TARIF 47%

mahaizura@mediaprima.com.my

MALAYSIA menafikan negara ini mengenakan kadar tarif 47 peratus ke atas import Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, sebaliknya kadar tarif sebenar import dikenakan Malaysia ke atas AS hanya 5.6 peratus, sekali gus bertentangan dengan dakwaan AS yang menyatakan kadar tarif mencecah 47 peratus.

Katanya, beliau membincangkan perkara itu ketika pertemuannya dengan Duta AS ke Malaysia, Edgard D Kagan semalam bagi mendapatkan penjelasan berhubung tarif timbal balik dikenakan AS terhadap import dari Malaysia.

“Kerajaan menafikan dakwaan Malaysia mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia.

“Malaysia langsung tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif ini dan sedang mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan itu.

“Kadar tarif sebenar yang dikenakan Malaysia ke atas eksport AS hanya 5.6 peratus.

“Asas pengiraan kurang tepat ini sudah mengakibatkan Malaysia dikenakan tarif timbal balas pada kadar 24 peratus,” katanya pada sidang media khas mengenai tarif AS di sini, semalam.

Beliau berkata, pegawai Malaysia di AS juga akan mengadakan pertemuan dengan pentadbiran AS di Washington bagi memberi penjelasan berhubung isu dakwaan tarif berkenaan.

Tengku Zafrul berkata, tarif timbal balik 24 peratus dikenakan ke atas import dari Malaysia memberi impak langsung dan tidak langsung kepada negara ini.

“Sesetengah eksport Malaysia akan lebih kompetitif dalam pasaran global berbanding beberapa negara yang dikenakan tarif lebih tinggi dari Malaysia.

“Kadar 24 peratus boleh dianggap sederhana berbanding Kemboja (49 peratus), Indonesia (32 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (45 peratus), Thailand (37 peratus), Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus).

“Ramai penganalisis berpendapat ini menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pengimport dan syarikat AS yang mencari input atau barangan perantaraan,” katanya.

Dari segi kesan penggantian atau substitution effect katanya, eksport minyak sawit Malaysia, contohnya akan menjadi lebih kompetitif.

“Permintaan mungkin akan beralih ke Malaysia. Minyak sawit juga mungkin lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain.

“Impak langsung negatif pula dari segi pengurangan permintaan. Bila ini berlaku, hasil akan berkurangan dan pekerjaan dalam sektor eksport akan terkesan.

“Apabila permintaan berkurangan, pelaburan dan perbelanjaan juga akan berkurangan.

“Semua faktor ini akan menyebabkan penurunan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Jika pelbagai negara menghadapi situasi sama, pertumbuhan global akan melembap,” katanya.

Beliau berkata, penurunan permintaan dari AS akibat tarif timbal balas juga boleh mengakibatkan industri dan pasaran negara berdepan dengan lambakan (dumping) barangan import dari negara lain yang mempunyai lebihan kapasiti.

“Ini akan meningkatkan persaingan dengan pengeluar tempatan.

“Dari segi pelaburan yang diluluskan, maklum balas awal dari pelabur asing dan domestik, ada yang menyatakan, buat masa ini, terlalu awal untuk menilai impak kepada operasi masing-masing sehingga tarif dilaksanakan esok.

“Beberapa pelabur berkongsi rantaian bekalan mereka akan terkesan terutama dari segi contract manufacturing.

“Ada pelabur Malaysia yang sedang memperlahankan pelan pengembangan perniagaan masing-masing dan mula berjimat, sambil memfokus kepada perluasan pasaran di China, India dan Asean,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul tidak menafikan kemungkinan wujud minat perniagaan antarabangsa memindahkan operasi mereka ke negara ini kerana tarif timbal balik AS yang masih rendah berbanding negara lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top