Kecoh di media sosial apabila tular satu imej tidak benar mendakwa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
Fitnah serta manipulasi digital
Menerusi kenyataan rasmi yangdikongsikan di media sosial, Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah serta manipulasi digital yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan sekeras-kerasnya imej palsu di media sosial yang mendakwa YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam kerana YB Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” tulisnya.

Laporan MCMC telah dibuat
Susulan daripada itu, pihak mereka mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi siasatan lanjut.
“Sehubungan itu, laporan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.

Terdahulu, imej tular itu mendakwa Mohamad Sabu menggesa penjawat awam menanam ganja susulan konflik di Asia Barat, namun ia kemudian dilabel sebagai palsu.
Untuk rekod, beliau sebelum ini hanya menggalakkan mereka yang memiliki rumah bertanah supaya menanam sayur sebagai langkah menambah bekalan makanan domestik sekiranya situasi global terus mencabar.




