mdroji@bh.com.my
Kuching: Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Sarawak akan mengekalkan tujuh teras strategik Pelan Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 sebagai panduan utama pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, teras strategik itu memberi tumpuan kepada pelaburan berimpak tinggi, kepelbagaian ekonomi, pendigitalan, kesejahteraan sosial, serta pembangunan mampan.
“Ketika kita bergerak ke hadapan, kita kekal komited dalam menerapkan kelestarian alam sekitar dalam semua inisiatif dengan sasaran jangka panjang untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya ketika berucap melancarkan RMK13 Sarawak dan Persidangan Ekonomi, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, RMK13 Sarawak disusun berasaskan 15 sektor sosio ekonomi utama termasuk peralihan tenaga, pembuatan dan pembangunan perusahaan kecil sederhana (PKS) dan pertanian komersil.
“Turut diberi tumpuan pelancongan, kesenian, kebudayaan dan industri kreatif, perhutanan dan pemuliharaan, perlombongan serta minyak dan gas.
“Kita juga terus beri tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, pengangkutan, perkhidmatan perniagaan, transformasi digital dan inovasi, pendidikan, perkhidmatan sosial dan transformasi kerajaan,” katanya.
Abang Johari berkata, semua sektor terbabit mencerminkan landskap ekonomi yang sedang berkembang dengan penekanan kepada inovasi, pertumbuhan inklusif dan kepelbagaian industri.
Beliau berkata peralihan tenaga menjadi pemacu utama transformasi Sarawak dengan lebih 62 peratus tenaga negeri kini datang daripada sumber boleh diperbaharui, terutamanya hidroelektrik.
“Kita menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 10 gigawatt menjelang tahun 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035 selaras dengan dan 15 gigawatt menjelang 2035, selaras dengan aspirasi menjadi ‘Bateri ASEAN’.
“Dalam masa sama, gas akan berfungsi sebagai bahan api peralihan menerusi projek loji janakuasa kitaran gabungan di Miri, Samalaju dan Kuching bagi menyokong sistem tenaga bersih dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata, perusahaan milik negeri (SOE) akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin utama kepada pembangunan industri strategik negeri, selari dengan aspirasi menjadi negeri berpendapatan tinggi dan berdaya tahan menjelang 2030.
Beliau berkata SOE bukan sekadar entiti komersial, sebaliknya berfungsi sebagai ‘senjata strategik’ kerajaan dalam memperkukuh sektor perindustrian, keselamatan tenaga serta penciptaan peluang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, bagi memperkukuh peranan serta tadbir urus SOE, Dasar Pemilikan Negeri akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




