'Mak cik blower', 'mak cik sapu' sudah berdamai

'Mak cik blower', 'mak cik sapu' sudah berdamai

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Tangkak: Persengketaan antara dua jiran dikenali ‘mak cik blower’ dan ‘mak cik sapu’ yang tular di media sosial sebelum ini, berakhir dengan kedua-dua keluarga sepakat untuk berdamai.

Menerusi perkongsian dimuat naik pemilik akaun TikTok, Abel kedua-dua pihak dilihat berpelukan dan menangis ketika bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Kelihatan juga individu lain dalam video itu, dipercayai ahli keluarga mereka.

“Assalamualaikum, saya Abel (jiran kanan). Kata sepakat dilakukan di majlis kedamaian antara kami bertiga.

“Saya sendiri, Abel ingin memohon maaf sekiranya ada berlaku perselisihan faham dan segala salah silap daripada pihak saya juga,” tulisnya dalam kapsyen video berkenaan.

Abel berharap apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Setiap manusia melakukan kesalahan termasuk diri sendiri, maka ambillah iktibar dengan apa yang sudah terjadi. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terima kasih semua,” tulisnya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet gembira melihat kedua-dua wanita itu berdamai ketika sambutan Hari Deepavali.

“Tak tunggu raya puasa, raya Deepavali pun okay kan,” tulis pengguna TikTok, Ekin Jamal.

“Alhamdulillah, berbaik sesama kita. Umur kita tak tahu sampai bila dekat dunia, jadi berkasih sayanglah,” tulis pengguna TikTok, Liyana.

“Alhamdulillah, buang yang keruh ambil yang jernih,” tulis seorang lagi pengguna TikTok dikenali Azura.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pergaduhan lima wanita yang menggunakan penyodok sampah, penyapu dan gayung sebagai objek untuk saling memukul.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib dilapor mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan polis sudah mengenal pasti semua individu terbabit.

Beliau dilapor berkata, siasatan mendapati insiden berpunca daripada perselisihan antara jiran tetangga di taman perumahan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam rusuhan bersenjata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top