nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan takziah kepada keluarga Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia, Allahyarham Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed yang meninggal dunia petang tadi.
Presiden UMNO itu menyifatkan pemergian tokoh wanita berkenaan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga Wanita UMNO, malah kepada seluruh warga parti serta masyarakat yang mengenalinya sebagai pejuang gigih dalam memperjuangkan peranan wanita, institusi keluarga dan pembangunan komuniti.
“Saya dan seluruh kepimpinan UMNO merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarganya. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima amal kebaikan serta bakti yang dicurahkan serta menempatkan rohnya dalam kalangan para solihin,” katanya dalam satu kenyataan.
Saripah meninggal dunia kira-kira jam 4.55 petang tadi dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam esok.
Saripah adalah antara tokoh wanita UMNO yang lama berkhidmat, dihormati dan dikenali kerana komitmennya dalam memperkukuhkan perjuangan parti serta memperkasa peranan wanita dalam masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




