GOMBAK: Kira-kira 1.4 juta penumpang disasar menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setahun bermula 2027 bagi perjalanan menghubungkan Lembah Klang dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sasaran itu melibatkan anggaran kadar pengisian penumpang sebanyak 60 peratus pada peringkat awal operasi.
Katanya, jumlah keseluruhan tempat duduk yang dirancang untuk disediakan bagi perkhidmatan berkenaan sepanjang tahun hadapan pula adalah sekitar 2.2 juta.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sebanyak 16 perjalanan sehari akan disediakan dari Jumaat hingga Ahad melibatkan lapan perjalanan bagi setiap arah manakala 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis dengan enam perjalanan bagi setiap arah.
“Pada peringkat permulaan, sebanyak 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
“Tren dengan konfigurasi kelas Ekonomi dan Ekonomi Premium mempunyai kapasiti sehingga 425 penumpang manakala konfigurasi yang turut merangkumi kelas Perniagaan mempunyai kapasiti 409 penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pengumuman struktur tambang ECRL di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini, semalam.
Darwis berkata, penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November 2026 bagi perkhidmatan penumpang antara Gombak dengan Kota Bharu.
Katanya, operasi komersial penumpang bagi laluan berkenaan disasarkan bermula pada pertengahan Disember tahun ini tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
Sementara itu, Darwis berkata, kerajaan telah meluluskan cadangan pelaksanaan tambang perkhidmatan penumpang ECRL dengan kadar kelas Ekonomi bagi perjalanan Transit dari Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125 sehala.
Menurutnya, tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Ekspres untuk perjalanan sama sejauh 523 kilometer pula bermula serendah RM147 sehala.
“Bagi perjalanan Gombak ke Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, kadar tambang perkhidmatan Transit bermula RM95 manakala tambang bagi perkhidmatan Ekspres untuk perjalanan sama bermula RM110.
“Perjalanan Gombak ke KotaSAS sejauh 209 kilometer ditawarkan pada kadar permulaan RM60 bagi Transit dan RM68 bagi Ekspres. Kadar tambang permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya,” katanya.
Darwis berkata, cadangan pelaksanaan tambang itu mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat, nilai perkhidmatan yang ditawarkan serta kemampanan operasi ECRL dalam jangka panjang.
Katanya, pendekatan tambang dinamik membolehkan pengurusan permintaan penumpang dilaksanakan dengan lebih berkesan di samping memastikan perkhidmatan ECRL kekal berdaya saing.
“Melalui mekanisme ini, harga tiket boleh berubah mengikut faktor seperti waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
“Perkhidmatan Transit akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan manakala perkhidmatan Ekspres memberikan tumpuan kepada empat stesen utama iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu,” katanya.-UTUSAN.




