Sasaran satu emas bukti keberkesanan RTG – Nazifuddin

Sasaran satu emas bukti keberkesanan RTG – Nazifuddin

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia mempunyai sasaran jelas untuk Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini iaitu satu pingat emas.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, sasaran itu yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, tidak mengejutkannya.

“Sasaran satu emas ini adalah untuk membuktikan keberkesanan Program Road to Gold (RTG).

“Kerajaan sudah melabur dalam usaha kita untuk memenangi emas, jadi kita perlu memenuhi sasaran ini,” kata Nazifuddin dalam sidang media selepas menerima penajaan daripada Milo untuk kontinjen Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, RTG adalah persiapan bukan sahaja untuk Paris 2024, temasya Los Angeles 2028 (LA 2028) dan sasaran itu memang sudah dijangka.

Katanya, kejayaan bergantung kepada prestasi atlet pada hari pertandingan nanti.

Program RTG, yang dilancarkan pada Mac tahun lalu, bertujuan untuk menyelaras usaha bagi merealisasikan misi memenangi emas pertama Malaysia di Olimpik.

Program itu meliputi latihan harian, latihan luar negara, pendedahan kepada pertandingan serta penyediaan khidmat jurulatih dan sokongan lain.

Kerajaan menyediakan peruntukan RM5 juta untuk RTG tahun lalu dan menambah RM20 juta dalam Belanjawan 2024.

Kini, 10 atlet berada dalam program itu termasuk enam pemain badminton – Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei; dua pelumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom; atlet terjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan.

Pencapaian terbaik Malaysia di Olimpik setakat ini adalah empat pingat perak dan satu gangsa di Rio 2016.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top