Satu lagi musim cemerlang buat JDT

Satu lagi musim cemerlang buat JDT
Pasukan JDT menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Pasukan Sri Pahang FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto Bernama

Pasukan JDT menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Pasukan Sri Pahang FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto Bernama

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan kejaguhan mereka dalam saingan Liga Malaysia selepas melakar sejarah hatrik ‘quadruple’ pada Sabtu.

Kejayaan itu hadir selepas JDT memenangi Piala Malaysia menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus melengkapkan kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia buat tiga musim berturut-turut.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio menyimpulkan perjalanan Harimau Selatan musim ini luar biasa dan cemerlang.

“Kami melalui banyak perlawanan musim ini sama ada tempatan atau antarabangsa. Ia memang musim yang penuh cabaran. Namun, bagi saya, ia adalah musim yang luar biasa dan cemerlang.

“JDT telah membuktikan potensi mereka dan saya sangat gembira dapat mengikuti idea JDT dan Pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail. Bos kami mempunyai idea yang hebat dan visi masa depan yang sangat jelas.

“Pada saat ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pemain dan seluruh skuad. Mereka banyak membantu saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, Sri Pahang yang hadir dengan status bukan pilihan memberikan cabaran buat JDT apabila terlebih dahulu mendahului melalui T Saravanan pada separuh masa pertama.

Namun, sesuai dengan kualiti dimiliki skuad kendalian Bidaglio itu, mereka bangkit dengan dua gol menerusi penalti Bergson da Silva dan gol kemenangan oleh Arif Aiman Hanapi.

Untuk musim ini, membuktikan mereka sememangnya terus sukar dicabar dengan kejuaraan ke-11 berturut-turut Liga Super, tujuh kemenangan berturut-turut Piala Sumbangsih, hatrik Piala FA dan Piala Malaysia.

Selain itu, mereka mengakhiri saingan pentas Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di pusingan 16 pasukan terbaik selepas tewas kepada Buriram United.

Scroll to Top