Satu lokaliti PKPD tamat di Sarawak, dua dilanjutkan di Sabah

Satu lokaliti PKPD tamat di Sarawak, dua dilanjutkan di Sabah

KUALA LUMPUR – Kerajaan menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu lokaliti di Sibu, Sarawak manakala melanjutkan tempoh itu di dua kampung di Nabawan, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang ditamatkan mulai esok ialah penempatan Sentosa Timur Fasa 2 di Sibu dan melanjutkan tempoh PKPD di Kampung Sinsingon serta Kampung Lotong di Nabawan selama dua minggu sehingga 26 Mac ini.

Penamatan tempoh itu di penempatan Sentosa Timur Fasa 2 dibuat selepas kerajaan menerima laporan dari Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa berlaku trend penurunan kes, kluster terkawal dan semua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan, katanya.

Ismail Sabri Yaakob

“Sehingga semalam, KKM telah melakukan sebanyak 1,311 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 13 kes telah dilaporkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu Sarawak pada 12 Mac ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pelanjutan tempoh PKPD di dua kampung di Nabawan, Ismail Sabri berkata, sepatutnya lokaliti itu tamat esok namun kerana masih terdapat kes positif baharu dilaporkan di kalangan penduduk, kerajaan terpaksa melanjutkan sehingga 26 Mac ini.

“KKM telah melakukan sebanyak 674 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 81 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM juga mengesahkan terdapat 322 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan masih terdapat kes positif baharu dilaporkan dalam kalangan penduduk di lokaliti ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah bermula 13 Mac sehingga 26 Mac ini,” katanya.

Mengenai tangkapan bagi kesalahan ingkar SOP PKP, Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan menunjukkan penurunan iaitu hanya 242 individu sahaja ditahan.

Daripada jumlah itu, seramai 240 dikenakan kompaun manakala dua lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan, tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran, aktiviti pusat hiburan dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran.

Bagi program saringan wajib pekerja warga asing pula, katanya, seramai 4,807 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 114 daripadanya didapati positif.

“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 603,597 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 31,466 majikan.

“Dari keseluruhan jumlah itu, 9,614 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 593,983 lagi negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,520 klinik telah terlibat dengan program saringan ini dan ujian saringan ini adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top