Pelakon Reen Rahim mengakui dia juga sama seperti pasangan lain tidak terlepas melalui ujian rumah tangga sepanjang bergelar isteri.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Reen berkata dia pernah di fasa merasakan dirinya lebih berjaya tanpa sedar membuatkan dirinya hilang hormat terhadap suaminya.
BACA: Reen Rahim Rasa Meluat Asyik Keluar Berita Pasal F.L
“Saya pernah berada di fasa apabila saya terasa diri lebih berjaya daripada suami sendiri. Kami berdua diuji pada awal perkahwinan. Hazim Zainal diuji dengan kekurangan, manakala saya diuji dengan terlebih daripada cukup.
“Saya ada duit. Saya boleh beli apa sahaja yang saya mahu. Saya rasa saya boleh lakukan semuanya sendiri. Dan perlahan-lahan, saya mula hilang rasa hormat terhadap suami tanpa saya sedari.
“Cara percakapan saya menjadi kasar. Hati pula semakin keras. Apabila suami tidak mampu memberikan apa yang saya mahukan, saya mula memandangnya kecil,” tulisnya.
Sementara itu, Reen berkata meskipun dirinya ego ketika itu namun suaminya tetap bersabar serta tunjukkan contoh yang baik sehingga menyedarkan dirinya.
“Ketika itu, hanya Allah yang tahu betapa sabarnya dia dan kuatnya doa yang dipanjatkannya. Walaupun emosi saya tidak menentu sekejap dingin, sekejap baik dan lama-kelamaan menjadi semakin ego serta keras hati, dia tetap tidak melawan.
“Dia terus menunjukkan contoh yang baik, sentiasa berlembut dan mengalah. Dia juga tetap menjaga imannya. Saya ingatkan masalah kami ketika itu ialah duit. Rupanya, masalah sebenar ialah hati saya yang belum difahamkan Allah tentang makna sebuah perkahwinan.
“Sampai satu tahap, saya penat dengan diri sendiri. Penat hidup dalam ego. Penat mahu sentiasa menang. Penat merasakan diri sentiasa betul. Dari situ saya mula berdoa agar Allah lembutkan hati saya sekiranya saya bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, Reen turut meluahkan rasa syukur Allah mengubah caranya memandang suaminya dan sebagai isteri perlu percaya pada suami untuk menjadi lebih berjaya.
“Dan perkara yang paling saya tidak sangka, apabila saya berubah, suami saya juga berubah. Dia menjadi lebih kuat. Lebih yakin. Lebih berjaya.
“Hari ini saya faham, kadang-kadang seorang lelaki tidak memerlukan perempuan yang sentiasa mendesaknya untuk menjadi hebat. Dia cuma memerlukan seorang isteri yang percaya bahawa dirinya mampu menjadi hebat,” katanya.




