Saya sedia terima keputusan pilihan raya – Trump

Saya sedia terima keputusan pilihan raya – Trump

WASHINGTON – “Saya bersedia terima apa jua keputusan Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS).”

Kenyataan berbaur perdamaian itu dibuat Presiden Donald Trump selepas keputusan awal menunjukkan Parti Demokrat mencatat kemenangan besar ke atas Parti Republikan (GOP) di Kongres.

“Kita akan bekerjasama dengan Demokrat dan sudah tentu menantikan peluang untuk bekerjasama dengan mereka. Kita mungkin dapat mencari jalan penyelesaian bersama,” ujarnya dalam nada lebih berdiplomasi, berbeza daripada pendiriannya yang sebelum ini lantang mengkritik parti lawan.

Sebelum ini, Trump berulang kali mempersoalkan ketelusan dan keadilan pemilihan itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa beliau mungkin enggan menerima kekalahan seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Presiden.

Beliau turut memberikan pujian yang jarang dilontarkan kepada Demokrat dengan mengakui parti itu telah menjalankan kempen dengan baik.

“Saya berpendapat Demokrat menunjukkan prestasi yang baik. Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh,” katanya kepada Fox News, sambil menyatakan bahawa terdapat perubahan suasana dalam kalangan pengundi dan beliau tidak sepatutnya berasa bersalah.

Trump turut mengakui perang tiada kesudahan di Iran menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon GOP termasuk di kawasan kubu kuat mereka.

Ketika wawancara bersama Fox News, Trump dengan angkuh menyatakan beliau akan menggunakan kuasa veto jika Demokrat mahu mengemukakan rang undang-undang (RUU) yang ‘tidak masuk akal’.

“Mereka akhirnya akan menghubungi saya untuk mencari jalan mencapai persetujuan. Ketika itu, kita akan bekerjasama dengan Demokrat,” ujarnya dengan yakin.

Trump berkata, perang berlarutan di Iran turut memberi tekanan kepada calon GOP meskipun pemimpin itu mendakwa pengundi kononnya menyokong pendekatan beliau dalam menangani konflik berkenaan.

Terdahulu, Rumah Putih menunjukkan pendirian tegas dengan memberi amaran kepada Demokrat supaya bersedia menghadapi tentangan selain menyalahkan beberapa calon Republikan atas keputusan yang tidak berpihak kepada mereka.

Trump sendiri dilihat gelisah sebelum keputusan awal pilihan raya diumumkan apabila memuat naik beberapa kenyataan bernada marah di media sosial bagi mengkritik liputan penyiar konservatif, Fox News.

Bagaimanapun, suasana di Rumah Putih berubah selepas Demokrat semakin hampir mencatat kemenangan besar yang boleh menjejaskan baki dua tahun pentadbiran Trump.

Sebelum itu, Trump dilaporkan menyatakan keyakinan secara berhati-hati terhadap keputusan pilihan raya tersebut.

“Suasana di Rumah Putih kekal tegang,” kata seorang pegawai Rumah Putih. – AFP

 

Scroll to Top