Saya tak mahu masuk campur, good luck – Zuraida

Cyberjaya: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sekadar mengucapkan selamat maju jaya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berunding dengan pemimpin UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga bekas Naib Presiden PKR, sekadar ketawa apabila ditanya mengenai kerjasama antara PKR dan UMNO selain enggan mencampuri urusan bekas partinya itu.

“Good luck to them (selamat maju jaya untuk mereka) dan saya tidak mahu masuk campur urusan parti mereka.

“Itu urusan parti mereka dan sudah menjadi tabiat mereka suka bergaduh. Sekarang saya hanya mahu menumpukan usaha membantu rakyat dan bersama kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 sekali gus mengembalikan keupayaan ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Ibu Pejabat SWCorp di sini, tadi.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberikan penjelasan kepada lebih 3 juta ahli parti susulan dakwaan DAP berhubung rundingan Presiden UMNO itu dengan Anwar.

Perkara itu disuarakan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin selepas Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong menerusi blognya mendakwa Presiden PKR itu berunding dengan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum itu, Anwar juga mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang PRU-15.

Bagaimanapun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan UMNO boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpinnya yang bekerjasama dengan PKR atau DAP.