Kempen Tonton Non Stop, On Top! tawar hadiah lebih RM700,000

Kempen Tonton Non Stop, On Top! tawar hadiah lebih RM700,000

H: Kempen Tonton Non Stop, On Top! tawar hadiah lebih RM700,000

Shamshul Azree Samshir

Foto (ambil dari web BH)

Kuala Lumpur: Platform penstriman, Tonton melancarkan kempen ganjaran terbesar dalam sejarah menerusi program Tonton Non Stop, On Top! yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan bernilai lebih RM700,000 kepada pelanggan setia.

Kempen yang berlangsung mulai hari ini hingga 9 Ogos depan memberi peluang kepada pengguna mengumpul mata untuk memenangi hadiah menarik hanya dengan menstrim kandungan terpilih di platform berkenaan.

Tonton dalam kenyataan menyebut, antara hadiah utama yang ditawarkan adalah sebuah SUV yang menggunakan teknologi hibrid inovatif iaitu Nissan Kicks e-Power 1.2L VL; sebuah GAC Emkoo 1.5L Turbo dan dua unit Wuling Bingo EV.

Selain itu, 70 telefon pintar Oppo serta 1,120 baucar tunai Watsons bernilai RM108 setiap satu turut menanti pemenang bertuah.

Sepanjang tempoh kempen, seramai 298 pemenang akan diumumkan pada setiap kitaran dua minggu membabitkan kategori hadiah utama, naib johan, sagu hati dan sagu hati khas.

Bagi memastikan lebih ramai peserta berpeluang memenangi hadiah, kutipan mata dan kedudukan peserta akan ditetapkan semula pada penghujung setiap kitaran dua minggu.

Pemenang hadiah utama dan naib johan pada pusingan terdahulu tidak layak memenangi hadiah utama yang sama pada pusingan berikutnya, namun masih berpeluang merebut hadiah sagu hati dan sagu hati khas.

Untuk menyertai kempen Tonton Non Stop, On Top!, pengguna hanya perlu melanggan pelan TontonUp selama tiga atau 12 bulan sebelum mula mengumpul mata menerusi tontonan drama yang ditetapkan.

Semakin lama tempoh tontonan, maka semakin tinggi peluang peserta meningkatkan kedudukan dalam carta dan seterusnya muncul sebagai pemenang.

Selain kutipan mata melalui aktiviti penstriman, pengguna juga boleh memperoleh mata tambahan tanpa had menerusi pembelian Tonton Subscription Gifts untuk keluarga dan rakan-rakan.

Setiap hadiah langganan selama tiga bulan menawarkan 100 mata bonus, manakala hadiah langganan 12 bulan memberikan 400 mata bonus.

Dalam usaha menambah keterujaan kempen, Tonton turut memperkenalkan Turboost iaitu sistem gandaan mata khas pada setiap hujung minggu.

Menerusi ciri itu, pengguna yang menstrim kandungan terpilih pada Sabtu dan Ahad akan menerima mata berganda secara automatik, sekali gus membantu mereka memperkukuh kedudukan dalam carta peserta.

Sebagai platform penstriman yang sentiasa menawarkan pengalaman hiburan relevan kepada pengguna, Tonton berharap kempen itu bukan sahaja membuka peluang memenangi hadiah menarik, malah menggalakkan penonton meneroka lebih banyak kandungan eksklusif yang tersedia di platform berkenaan.

Orang ramai boleh mula bersedia menyertai kempen itu dengan memuat turun aplikasi Tonton atau melayari laman sesawang Tonton, mendaftar atau log masuk ke akaun masing-masing sebelum mula menstrim kandungan terpilih bermula hari ini.

Lebih banyak kandungan ditonton, lebih cerah peluang peserta untuk mendaki carta dan muncul sebagai antara pemenang bertuah kempen berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top