'Saya tak malu ambil upah buang sampah asalkan kerja halal'

'Saya tak malu ambil upah buang sampah asalkan kerja halal'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Alhamdulillah, ada juga kerja yang boleh saya lakukan untuk cari rezeki dan sesuap nasi demi menyara keluarga walaupun hasilnya tak banyak.

“Saya tak malu dan tak kisah pun kalau tangan kotor sekalipun asalkan buat kerja halal,” kata Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong, 42, yang mencari rezeki dengan mengambil upah membuang sampah jirannya di Kampung Kubang Panjang Bukit Payong, di sini dan kampung bersebelahan.

Dia melakukan pekerjaan itu sejak tiga minggu lalu kerana sukar bekerja sepenuh masa akibat desakan hidup.

Selain perlu menjaga ibu, Siah Jusoh, 66, yang disahkan menghidap dementia (masalah ingatan) tahap dua sejak empat tahun lalu, dia membantu isteri, Mahmuzah Baharuddin, 35, menguruskan anak bongsu, Wan Muhammad Syawal, lapan bulan yang dilahirkan dengan penyakit Hirschsprung iaitu masalah usus hingga tidak boleh membuang najis dengan normal.

Akibat kekangan masa, Wan Mohd Khairu hanya boleh melakukan kerja sambilan dan kerana itu dia menawarkan khidmat membuang sampah dengan harapan dapat sedikit upah demi meneruskan kelangsungan hidup dan mengumpul wang membaiki atap rumah ibunya yang bocor.

“Bukan saya enggan atau tak ikhtiar cari kerja tetap tapi keadaan sekarang tak mengizinkan.

“Jadi hanya kerja sambilan dapat dibuat dilakukan untuk sara keluarga dan beli peralatan seperti tiub, picagari dan gel bagi memudahkan anak membuang najis sementara menunggu pembedahan usus di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada tahun hadapan.

“Sudah hampir sembilan bulan anak menderita akibat penyakit itu dan sebagai bapa, saya kena usaha cari duit salah satunya dengan ambil upah buang sampah. Kena cari duit bukan sebab nak sara isteri, anak dengan emak saja tapi juga bagi membaiki atap rumah yang pecah serta kayu berlubang ,” katanya kepada Harian Metro.

Wan Mohd Khairu Afffendy berkata, setakat ini, dia bergerak dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal untuk menawarkan khidmat berkenaan.

“Saya ambil upah seikhlas hati dan syukur kerana ada yang guna khidmat saya.

“Kerja ini pun tak sukar mana dan sesuai dengan saya. Lagipun, saya pun tak boleh buat kerja berat kerana perlu mengambil insulin empat kali sehari akibat menghidap diabetes,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Wan Mohd Khairu Affendy yang pernah terlintas menjual buah pinggang kerana buntu mencari dana bagi membeli keperluan anak bongsunya, Wan Muhammad Syawal yang dilahirkan dengan penyakit Hirschsprung dan turut ada masalah jantung berlubang.

Ketika itu, Wan Muhammad Syawal masih belum menjalani pembedahan akibat klef (sumbing) pada bibir namun prosedur selesai dijalankan pada Khamis lalu (11 Disember).

Orang ramai yang berhasrat meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 163028506563 atas nama Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top