Sean Lee masih mencari calon isteri, tak tolak jodoh dengan gadis Melayu

Sean Lee masih mencari calon isteri, tak tolak jodoh dengan gadis Melayu

Pelakon dan pengacara kacak, Sean Lee menyatakan dia meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang dan membina keluarga pada usia 30 tahun.

Bgaaimanapun, sehingga saat ini aktor berusia 29 tahun itu masih belum menemui calon isteri yang sesuai dijadikan pasangan hidup.

“Jika nak diikutkan saya mahu berkahwin dan membina keluarga lebih awal pada usia 25 tahun.
“Sayangnya, hubungan percintaan yang terjalin sebelum ini terputus dan tidak berakhir dengan perkahwinan seperti yang diharapkan,”ujarnya.

Sean atau nama sebenarnya Sean Lee Jia Ern, turut mengakui dia sudah beberapa kali putus cinta dan pernah dilukai oleh bekas kekasih sebelum ini.

Aktor berbangsa Cina juga memberitahu dia sebenarnya tidak meletakkan kriteria mengenai gadis idamannya sama ada mereka ini perlu terdiri di kalangan selebriti sepertinya juga mahupun orang biasa.

Malah, Sean yang juga fasih dan petah berbahasa Melayu tidak menolak sekiranya ditakdirkan bercinta dengan gadis Melayu. Katanya, dia juga pernah bercinta dengan mereka ini sewaktu zaman kolej.

“Saya juga tidak menolak jika ditakdirkan bercinta dengan gadis Melayu.
“Saya pernah beberapa kali putus cinta dan dilukai termasuk dengan gadis Melayu ketika zaman kolej dulu,”katanya lagi.

Sean yang juga pengacara program realiti Famili Duo di TV3 meluahkan kehairanan apabila kebanyakan bekas kekasih minta putus atas alasan dia terlalu baik.

“Saya sendiri tidak faham alasan mereka untuk memutuskan hubungan kerana mereka mendakwa saya terlalu baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama 7 Hari Mencintaku 2 dan 7 Hari Mencintaiku 3 juga mendedahkan dia menerima pesanan dari beberapa gadis menerusi Direct Message (DM) di laman Instagram.

Bukan itu sahaja, dia juga terkejut kerana ramai lelaki berani DM dan ajak berkenalan.

“Saya ada terima DM dari beberapa gadis yang turut menghantar gambar berpakaian seksi mereka di Instagram tapi saya tidak membalasnya.
“Bukan saja gadis, saya juga terkejut ramai juga lelaki yang berani DM saya untuk berkenalan di Instagram ,” katanya.

Sumber: Harian Metro (Ramlah Zainal), Instagram @seanlje