JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) di semua sekolah di negeri ini akan ditangguhkan susulan penutupan semua sekolah di negeri ini esok akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam kenyataan berkata, penangguhan dan penjadualan semula MPT4 serta pentaksiran lain akan dibuat mengikut ketetapan Lembaga Peperiksaan dan JPNJ.
“PKSK yang dijadualkan pada esok ditangguhkan. Tarikh baharu akan dimaklumkan JPNJ. Penjadualan semula PKSK bagi calon yang terbabit akan dimaklumkan kemudian berdasarkan ketetapan JPNJ. Guru dan pegawai yang terbabit tidak perlu hadir bagi pelaksanaan pentaksiran berkenaan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, guru dan kakitangan sekolah dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, manakala pegawai di JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan bertugas seperti biasa.
“Bagi sekolah berasrama, kebenaran pulang adalah tertakluk kepada keputusan Pengetua berdasarkan penilaian risiko semasa dan pertimbangan aspek keselamatan serta kebajikan murid,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali memaklumkan, kerajaan negeri sudah mengumumkan pelanjutan penutupan sekolah selama lima hari bermula esok hingga Jumaat.
“Saya berharap semua pihak dapat memahami bahawa pemakluman secara harian adalah sebahagian daripada tatacara pentadbiran yang perlu dipatuhi oleh JPNJ dan bukannya percanggahan dengan pengumuman kerajaan negeri.
“Keutamaan kita tetap sama, iaitu memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak Johor sentiasa terpelihara,” katanya.




