am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Program sekolah terapung yang kini dilaksanakan di penempatan orang asli dan komunti di beberapa negeri berpotensi untuk diperluaskan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sehingga kini sekolah terapung itu sudah dilaksanakan di negeri yang mempunyai komuniti terpencil termasuk Perak, Kelantan dan Sabah dengan jumlah keseluruhan murid sebanyak 246 orang.
Justeru, beliau berkata terdapat potensi sekolah terapung berkenaan dikembangkan di kawasan pedalaman lain sekiranya terdapat keperluan, kesediaan komuniti dan kesesuaian geografi yang mengizinkan.
“KPM melihat program sekolah terapung sebagai model pendidikan kreatif dan inovatif atas prinsip mencari penyelesaian keperluan setempat.
“Kementerian kekal beriltizam memastikan tiada murid tercicir dan setiap kanak-kanak menerima akses pendidikan yang relevan dan berkesan selaras dengan aspirasi pendidikan Madani,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan S Kesavan (PH-Sg Siput) mengenai pelaksanaan sekolah terapung di Hulu Perak serta perancangan KPM dalam memperluaskan inisiatif berkenaan.
Sementara itu mengenai pelaksanaan sekolah terapung di Hulu Perak, Fadhlina berkata, program sekolah terapung di Tasik Banding itu diperkenalkan sebagai inisiatif di bawah program khas pendidikan manusiawi dalam menyelesaikan masalah murid menghadapi cabaran jarak, demografi, rintangan pengangkutan dan tiada keperluan asas untuk ke sekolah.
“Program yang bermula pada 13 Oktober lalu itu beroperasi menggunakan rumah rakit sebagai ruang pembelajaran mudah alih.
“Ia memberi tumpuan kepada murid orang Asli yang tinggal di kawasan pendalaman dan penempatan sekitar Tasik Banding dan Tasik Temenggong di Grik, Perak.
“Pada masa ini seramai 48 murid bersekolah di sana membabitkan pelajar berusia antara enam hingga 16 tahun.
“Pembelajaran di sekolah ini menggunakan pendekatan yang sesuai dengan konteks pembelajaran komuniti yang didukung oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak serta agensi berkaitan yang meliputi penyediaan latihan khas kepada guru dalam memastikan kaedah pembelajaran yang diberikan relevan dengan kehidupan setempat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




