Selangor tertinggi, majoriti negeri catat kes tiga angka – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Malaysia masih mengekalkan kes positif Covid-19 melebihi 6,000 iaitu 6,320 kes dan 4,694 kes sembuh di mana Selangor menjadi penyumbang tertinggi iaitu 1,647 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hanya Selangor merekodkan kes melebih 1,000 kes manakala majoriti negeri merekodkan kes tiga angka manakala dua wilayah dan satu negeri, kes dua angka.

“Bagi negeri yang merekodkan kes tiga angka ia didahului Sarawak, 749 kes diikuti Kuala Lumpur, 654 kes; Kelantan, 613 kes; Johor, 477 kes; Negeri Sembilan, 396 kes; Pulau Pinang, 359 kes; Kedah, 301 kes; Perak, 276 kes; Pahang, 227 kes; Sabah, 189 kes; Terengganu, 185 kes dan Melaka, 175 kes. 

“Hanya dua wilayah dan satu negeri merekodkan kes dua angka iaitu Labuan, 36 kes manakala Putrajaya dan Perlis, masing-masing 18 kes,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga merekodkan sebanyak 50 kematian dan 17 kluster manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 53,682 kes berbanding semalam, 52,106 kes.

“Sebanyak 652 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 370 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Mengulas mengenai 50 kematian, Dr. Noor Hisham berkata, Selangor juga mencatatkan kes tertinggi iaitu 22 kematian, sembilan kes di Kuala Lumpur, lima kes di Johor, empat kes di Kedah, tiga kes di Perak, masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Melaka, dan Kelantan.

Katanya, 27 lelaki termasuk dua warga asing dan 23 wanita berusia antara 32 hingga 92 tahun dengan 37 daripadanya adalah warga emas.

“Sebanyak 10 kes meninggal dunia di kediaman masing-masing manakala bakinya di hospital Covid-19 di mana kesemua pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.

“Antara penyakit yang dikesan iaitu jantung, gout, obesiti, strok, dislipidemia, parkinson, kanser kulit, hypothyroid, kencing manis, darah tinggi, dan buah pinggang kronik,” katanya.

Mengenai 17 kluster, beliau berkata, ia melibatkan tujuh kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti, dua kluster keagamaan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Tujuh kluster tempat kerja katanya, Kluster Jalan Cemerlang Empat di Kuala Langat, Selangor, 16 kes; Kluster Jalan Laman Setia Tujuh di Johor Bahru, Johor, 11 kes; Kluster Jalan Pantai Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan, 30 kes; Kluster Industri Nibong Tebal melibatkan Seberang Perai Selatan dan Barat Daya, Pulau Pinang, 32 kes; Kluster Sungai Batu di Raub, Pahang, 27 kes; Kluster Jalan Bypass Kuantan di Kuantan, Pahang, 16 kes dan Kluster Industri Batu Berendam melibatkan Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka, 13 kes.

“Tujuh kluster komuniti pula, Kluster Taman Kesang Indah melibatkan Jasin, Melaka Tengah, Melaka dan Muar, Johor, 26 kes; Kluster Kepulauan Tumpat melibatkan Tumpat dan Pasir Mas, Kelantan, 28 kes; Kluster Kampung Bakong Kecil di Pasir Mas, Kelantan, 15 kes; Kluster Redong Satu di Segamat, Johor, 20 kes; Kluster Abaka di Tawau, Sabah, 38 kes; Kluster Indani di Semporna, Sabah, 12 kes dan Kluster Melikai di Kuala Penyu, Sabah dan Labuan, 17 kes.

“Dua kluster keagamaan iaitu Kluster Lembah Keramat di Titiwangsa, Kuala Lumpur, 10 kes dan Kluster Kampung Gau di Temerloh, Pahang, 16 kes manakala kluster kumpulan berisiko tinggi, Kluster Taman Sungai Jelok di Hulu Langat, Selamngor, 18 kes,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top