Selebriti kena bantu sebar kesedaran keganasan rumah tangga – Aiman

Selebriti kena bantu sebar kesedaran keganasan rumah tangga – Aiman

PUTRAJAYA  – Selebriti digalakkan untuk turut menyebarkan kesedaran tentang keganasan rumah tangga menerusi karya kreatif masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, ini kerana masyarakat lebih mudah untuk dipengaruhi dengan penyampaian mereka.

“Advokasi terhadap keganasan rumah tangga tidak hanya dari aspek undang-undang atau akademi tapi pendekatan yang boleh diterokai adalah dengan memenangi emosi masyarakat kaum lelaki juga wanita.

“Jadi, kalau pihak seperi artis mengambil bahagian advokasi, masyarakat mudah nak faham, pengaruh artis lebih mudah untuk diterima apatah lagi menggunakan unsur pendidikan agama,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu Aiman Athirah melancarkan Sumbangan Tabung Kasih kepada waris manga keganasan rumah tangga hingga koma, Jahidah Nordin.

Tabung Kasih berkenaan digerakkan oleh  pengasas jenama BabyPian, Sufian Suhaimi.

Jelas beliau, para selebriti boleh menggunakan pendekatan masing-masing untuk membantu Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam memberikan advokasi secara berterusan kepada masyarakat.

“Program kesedaran biasanya dibuat kelada kaum perempuan tapi program lelaki untuk faham tanggungjawab itu kurang. Kalau adanya aliran nasyid contohnya untuk bawa ke arah itu dan dipamerkan dan disampaikan secara kreativiti lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu Aiman Athirah dalam ucapannya berkata, dua agenda utamanya dalam KPWKM adalah konsep kekeluargaan dan perpaduan.

“Keluarga adalah unit asas dalam komuniti kita, teguh keluarga, kuatlah negara kita. Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2019 menunjukkan nilai kekeluargaan Malaysia masih di tahap tinggi dan kita perlu kekal dan perkukuhkan lagi agar Malaysia akan terus maju dan membangun.

“Dalam suasana politik dan ekonomi yang tidak menentu, perpaduan amat penting untuk kelangsungan hidup Malaysia. Oleh itu, saya berharap agar semua inisiatif dan program kerjasama semua pihak dapat menerapkan kedua-dua elemen tersebut di samping mengambil kira fokus semasa kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette