fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kejayaan beregu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, malam tadi, diraikan selebriti yang mengucapkan tahniah kepada dua jaguh sukan itu.
Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad bangga dengan kejayaan Aaron dan Wooi Yik yang mencipta sejarah membawa pulang pingat Olimpik pertama negara.
“Asbab kemenangan ini dapat membakar semangat rakyat Malaysia untuk terus berjuang mengharumkan nama negara.
“Tahniah saya ucapkan kepada mereka kerana berjaya membawa pulang pingat Olimpik,” katanya kepada BH Online.
Selain itu, penyanyi dan pengacara, Sissy Imann terlalu gembira atas kemenangan beregu badminton negara itu.
“Bergegar rasanya apabila saya menjerit kegembiraan, malam tadi. Ini adalah pingat olimpik pertama untuk Malaysia… Bukan senang hendak dapat biarpun pingat gangsa.
“Saya boleh lihat beregu negara sangat terkawal daripada segi fizikal dan mental menerusi perlawanan malam tadi terutama pada pusingan penentuan.
“Alhamdulillah, saya sangat bangga dengan mereka,” katanya.
Penyanyi dan pelakon, Syafiq Farhain tidak terkecuali meluahkan rasa bangga dan gembira.
“Bukan Aaron dan Wooi Yik dan pasukannya sahaja yang gembira, kita rakyat Malaysia bangga atas kemenangan mereka.
“Semoga kejayaan mereka dapat menjadi pembakar semangat buat atlet negara untuk terus mengharumkan nama negara,” katanya.
Tidak ketinggalan, penyanyi mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna melayangkan ciapan ringkas dan ucapan tahniah melalui Twitter.
“Tahniah Aaron dan Wooi Yik. Wow, terima kasih untuk kemenangan itu,” katanya.
Malam tadi, Aaron dan Wooi Yik menumbangkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan lalu melayakkan mereka memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 2020, di Tokyo.
© New Straits Times Press (M) Bhd




