Selepas 10 tahun penantian, Azmi Saat bakal timang cahaya mata pertama

Baru-baru ini, anggota kumpulan Heart iaitu Azmi Saat mendedahkan bakal menimang cahaya mata sulung selepas 10 tahun penantian.

Memetik temubual bersama Gempak, perkhabaran gembira tersebut dikongsi sendiri oleh penyanyi berusia 34 tahun itu selepas memenangi Juara Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2)

“Sebenarnya saya sudah mengetahui perkara ini sejak 2 bulan lalu tetapi masih belum memberitahu sesiapa kerana kandungan itu masih awal.
“Alhamdulillah, kini kandungan isteri dah memasuki usia 4 bulan,” ujarnya.

Menurut pemilik nama Khairul Azmi Mohd. Saat itu, sebelum ini isterinya pernah hamil namun tiada rezeki apabila kandungan itu gugur, pada tahun ke-8 perkahwinan mereka.

“Sebenarnya isteri pernah hamil di tahun ke-8 perkahwinan. Tapi tak sampai 2 bulan gugur, tak ada rezeki. Saya sangat bersyukur Allah kurniakan nikmat sekali lagi untuk rasa tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Tulus itu sempat bercerita pengalaman mendebarkan apabila isterinya terpaksa dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas sewaktu dia sedang membuat latihan persembahan MLS2.

“Saya terpaksa bergegas ke hospital atas urusan kecemasan, Isteri memang ada asma jadi dia alami sesak nafas akibat penyakit itu. Alhamdulillah selepas mendapat rawatan doktor, isteri kembali pulih,” jelasnya lagi.

Azmi mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dengan wanita pilihan hati, Nazira Muhammad yang juga merupakan seorang OKU cacat penglihatan.

Sumber: Gempak (Mya Amri)