Selepas kisah tular, bantuan mencurah-curah untuk penghuni Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah – Utusan Digital

GEORGETOWN : “Kami terkejut lihat ramai hulur bantuan.”

Itu reaksi penjaga Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah di Sungai Pinang, Balik Pulau dekat sini, Fazari Ismail Ahmad Akhir, 42, selepas menerima pelbagai bantuan daripada masyarakat untuk 21 penghuni di situ yang disahkan positif Covid-19.

Menurut Fazari, bantuan mula diterima sejak dua hari lalu dan dia sendiri tidak menyangka kisah penghuni di pusat jagaan tersebut yang memerlukan bantuan tular dalam media sosial.

“Saya pada mulanya hairan mengapa tiba-tiba ramai yang datang salurkan bantuan kepada kami yang sedang menjalani tempoh kuarantin di pusat ini.

“Semalam baru rakan saya beritahu bahawa kisah kami tular di Facebook. Saya sendiri tidak tahu siapa yang tularkan kisah ini, kami amat berterima kasih kepada masyarakat yang prihatin dengan nasib kami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai penghuni di pusat jagaan tersebut yang positif Covid-19 memerlukan bantuan ubat-ubatan, lampin pakai buang dan bantuan lain.

Difahamkan, terdapat 26 penghuni yang berusia belasan tahun hingga tiga tahun dan enam  penjaga menghuni pusat jagaan berkenaan yang dibuka sejak lebih 20 tahun lalu.

Fazari berkata, tempoh kuarantin penghuni yang positif Covid-19 akan tamat pada 20 September ini dan mereka berada dalam keadaan baik.

“Mereka mula dikesan positif pada akhir Ogos lalu dan kami telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan penghuni di sini.

“Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) juga menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan kesihatan penghuni di sini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya segera menyalurkan bantuan termasuk sumbangan makanan kepada penghuni Pusat Jagaan Al Aisyah, yang majoritinya dijangkiti Covid-19 selepas mendapat maklumat mengenainya.

“Saya telah mengarahkan bantuan makanan mentah dan bahan keperluan lain seperti ubat-ubatan dan lain dihantar setiap hari kepada penghuni pusat jagaan ini bagi meringankan beban mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE