ISTANBUL – Sembilan orang maut manakala beberapa lagi cedera pada Khamis dalam serangan udara Israel di timur dan selatan Lubnan, meskipun perjanjian gencatan senjata diperbaharui, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media Lubnan.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan serangan Israel ke atas bandar Sohmor di wilayah Bekaa barat mengorbankan lima orang awam, manakala empat lagi cedera.
Susulan serangan itu, pihak perbandaran Sohmor menggesa penduduk dan pengunjung supaya tidak memasuki bandar berkenaan berikutan “risiko keselamatan yang serius.”
“Musuh (Israel) tidak mengecualikan sesiapa, termasuk lelaki dan wanita awam,” menurut pihak perbandaran dalam kenyataan yang disiarkan NNA, sambil menyeru orang ramai mematuhi sepenuhnya amaran itu.
Di selatan Lubnan, sebuah dron Israel menyasarkan sebuah motosikal di bandar Maaroub di daerah Tyre, menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera.
Agensi itu turut melaporkan sebuah kenderaan awam diserang di jalan Zefta-Nmeiriyeh di daerah Marjayoun, menyebabkan seorang bapa, ibu dan anak perempuan mereka dari Jdeidet Marjayoun cedera.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Al-Rai di Sidon untuk mendapatkan rawatan.
Dalam serangan berasingan, sebuah dron Israel menyerang sebuah kenderaan di jalan Zefta-Kfarroumane di Nabatieh, menyebabkan beberapa orang cedera.
Serangan Israel di kawasan Al-Masaken di daerah Tyre pula mengorbankan tiga orang dan mencederakan tujuh yang lain, termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita.
Satu lagi serangan berasingan di Arab al-Jal di daerah Sidon mencederakan tujuh orang, antaranya dua kanak-kanak dan empat wanita.
Serangan itu berlaku sehari selepas Lubnan dan Israel bersetuju memperbaharui gencatan senjata rapuh mereka serta mewujudkan “zon perintis” yang meletakkan tentera Lubnan sebagai pihak berkuasa tunggal di kawasan berkenaan, dengan semua kumpulan bukan negara dikecualikan.
Perjanjian itu diumumkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pusingan keempat rundingan dimudah cara oleh Amerika Syarikat (AS) di Jabatan Negara pada Rabu.
Rundingan tajaan AS itu menyusuli serangan Israel hampir setiap hari ke atas Lubnan selama beberapa minggu yang mengorbankan hampir 3,500 orang sejak 2 Mac, meskipun gencatan senjata berkuat kuasa pada 17 April dan kemudian dilanjutkan hingga awal Julai. – Bernama



