harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Semua pelaburan yang ditawarkan di media sosial adalah penipuan,” tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Menurutnya, beliau kesal kerana masih ada yang ‘termakan umpan’ dan menjadi mangsa sindiket penipuan walaupun berulang kali nasihat serta amaran diberikan kepada orang ramai.
“Semua (pelaburan di media sosial), tiada pengecualian kerana walaupun asalnya tawaran itu adalah betul, scammer akan mencuri peluang.
“Mereka akan menjurus bakal pelabur ke platform penipuan, justeru lebih baik jangan mempercayai langsung pelaburan di media sosial, jangan jadi golongan haloba,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, semalam.
Terbaru seorang warga emas berusia 60 tahun dilaporkan menjadi mangsa skim pelaburan palsu menerusi Facebook (FB) sehingga kerugian wang tunai mencecah RM406,654.
Katanya, laporan berita berkenaan yang disiarkan pada 6 Oktober lalu adalah sesuatu yang mengecewakan pihaknya kerana selepas berulang kali peringatan diberikan namun masih ada yang percayakan iklan di media sosial dan membuat pelaburan dalam jumlah besar.
“Untuk rekod, 4,355 kes penipuan pelaburan dicatatkan sejak Januari hingga September 2024.
“Daripada jumlah ini, 3,574 kes atau 82 peratus adakah kes penipuan pelaburan yang berpunca dari media sosial iaitu Telegram (1,506 kes), Facebook (1,068 kes) dan WhatsApp (1,000 kes),” katanya.
Pada masa sama Ramli mengingatkan bahawa iklan membabitkan saham tawaran awam permulaan (IPO) luar negara menerusi media sosial berkemungkinan besar satu penipuan.
Katanya, penawaran IPO terbabit hanyalah taktik sindiket bagi memancing mangsa supaya membuat pelaburan besar kononnya boleh menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda.
“Tawaran sebegini adalah taktik yang digunakan scammer untuk memperdaya mangsa dengan cara memanipulasi perasaan tamak haloba dalam kalangan pelabur. Berhenti percaya kepada tawaran sebegini.
“Perlu juga diketahui bahawa IPO mesti berdaftar dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Justeru, adalah dinasihatkan kepada bakal pelabur yang berminat dengan tawaran IPO untuk membuat pengesahan penawaran itu dengan pihak SC sebelum membuat pelaburan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




