Semua perlu fokus pulih ekonomi, bantu rakyat

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Semua pihak wajar menghentikan perbalahan politik buat sementara waktu dan bermuafakat serta bertolak ansur dalam perkara yang sudah disepakati bagi menangani kesan penularan COVID-19, termasuk permasalahan rakyat.

Dalam keadaan semasa, pemuafakatan diyakini akan memberi peluang kepada usaha pemulihan ekonomi dan menyelamatkan rakyat yang kini menghadapi pelbagai kesukaran.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata pemimpin atau mereka yang diberi amanah untuk memimpin perlu menyedari bahawa negara sekarang berada dalam pandemik COVID-19.

“Kita diibaratkan berada di dalam sebuah perigi dan sedang berpegang kepada satu tali, masing-masing akan tepis-menepis serta tolak-menolak (untuk selamatkan diri), jika tali itu putus maka semua tidak akan selamat.

“Semua pihak dinasihatkan berpegang teguh kepada tali Allah dan janganlah berpecah-belah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Shukri berkata, hanya perpaduan akan menyelamatkan semua pihak bagi memerangi gelombang COVID-19 yang mengancam semua sektor termasuk ekonomi, pendidikan, sosial dan keagamaan.

Justeru, katanya, adalah tidak wajar bagi sesetengah pihak menimbulkan gejala tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

“Jangan jadi seperti ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ (manusia kini tidak mementingkan semangat kejiranan). Ingatlah bahawa perbalahan dan perpecahan adalah menempah kelemahan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Profesional dan Usahawan Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid, berkata perbalahan politik berterusan hanya akan menyebabkan pelbagai sektor terutamanya sektor perniagaan terus merudum.

Dalam apa juga situasi, katanya, yang paling terkesan adalah rakyat terutamanya mereka yang bergantung hidup dalam industri pengeluaran atau berniaga secara kecil-kecilan.

“Rakyat melihat pergolakan politik dalam negara ketika ini, benarkah mereka yang paling diutamakan kerana yang paling terjejas akibat keadaan tidak stabil ini adalah orang ramai.

“Disebabkan itu, kita berharap pergolakan politik ini dapat diberhentikan sementara dan tumpu kepada usaha membantu rakyat yang terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda,” katanya.

Dr Zaki berkata, ahli politik kerajaan dan pembangkang perlu membuktikan tindakan yang diambil mereka kini adalah untuk rakyat seperti yang kerap dikatakan.

“Ketegangan dalam politik ini wajar diberhentikan sementara sehingga pandemik selesai, ekonomi dapat dipulihkan dan rakyat tidak lagi berhadapan tekanan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist, berkata semua pihak terutama pemimpin politik diminta menghentikan pertelagahan dan perbezaan politik mereka bagi memastikan kesejahteraan rakyat yang berhadapan wabak COVID-19 terus terbela.

Beliau berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sering berdamping masyarakat memerlukan, mereka sering mendengar rintihan dan aduan masyarakat yang resah dengan keadaan semasa negara.

“Pertelagahan antara pemimpin yang berterusan dibimbangi menjejaskan hala tuju pemulihan negara termasuk pelbagai urusan bantuan kepada rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd