Semua pihak perlu tolak ansur isu warganegara

Semua pihak perlu tolak ansur isu warganegara

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Semua pihak perlu bertolak ansur dalam isu cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan kewarganegaraan yang dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkepentingan perlu mengambil pendekatan memberi dan menerima selain cuba mencari jalan tengah dalam isu terbabit.

Menurutnya, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan disaran menerapkan semangat yang sama.

“Kerajaan tidak perlu mengalah dengan semua yang mereka tuntut.

“Anda mungkin fikir pendapat anda betul, tetapi ia tidak selalunya benar, jadi sila beri sedikit ruang kepada pihak kerajaan,” katanya pada sidang media Majlis Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara penting ialah menyelesaikan isu kewarganegaraan bersama.

Jumaat lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju dengan tujuh daripada lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan yang dikemukakan oleh KDN.

Katanya, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat kabinet dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, KDN mengenal pasti lapan perkara untuk dimasukkan sebagai cadangan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan termasuk pemberian kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing.

© New Straits Times Press (M) Bhd