DAP menjangka akan terus berdepan serangan kempen berunsur perkauman apabila tempoh rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bermula pada 18 Julai ini.
Menurut laporan Sinar Harian, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa, pihak lawan dijangka akan terus membawa pelbagai naratif negatif yang menyasarkan DAP bagi membentuk persepsi buruk terhadap parti itu.
Beliau berkata, pendekatan tersebut dilihat sebagai antara strategi utama untuk melemahkan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pada PRN kali ini.
“Apa lagi modal pihak lawan yang paling berkesan selain menyalahkan DAP dengan mengatakan apa sahaja isu yang berlaku di Negeri Sembilan, semuanya salah DAP.
“Sebenarnya kempen seumpama itu dah mula pun dan kita dah dengar kerana kita pun ada pengintip-pengintip untuk melihat apa yang mereka buat. Jangkaan bahawa naratif yang akan dipermainkan semua salah DAP,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang di Seremban hari ini.
Ahli Parlimen Seremban itu mendakwa Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS telah mula memainkan naratif berkenaan sebagai usaha memastikan DAP dan PH tewas pada pilihan raya negeri tersebut.
Foto arkib: Bernama
Beliau turut merujuk kepada kenyataan Tan Sri Annuar Musa di Facebook yang berbunyi, “jika anda tidak boleh menang, anda masih boleh membuat musuh anda kalah”.
“Ini strategi mereka. Mereka tak boleh menang pun, tapi nak mengalahkan PH, mereka menggunakan proksi.
“Ini pendekatan jelas yang digunakan dalam PRN Johor. Itu sebabnya banyak kerusi mereka tak letak calon dan mengarahkan penyokong mereka mengundi calon BN,” ujarnya.
Malah, Loke turut menegaskan DAP tidak pernah menggunakan sentimen perkauman sebagai bahan kempen sebaliknya memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri bersama PH sejak 2018.
Beliau juga mengingatkan rakyat Negeri Sembilan supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang dimainkan sepanjang kempen pilihan raya.
Pada masa sama, Loke menggesa PAS dan Barisan Nasional (BN) menjelaskan secara terbuka kepada rakyat mengenai hubungan kerjasama antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Mana-mana pihak nak bekerjasama itu adalah hak parti masing-masing tetapi kena berterus terang kepada rakyat.
“Saya nak tanya pendirian parti-parti komponen BN terutamanya MCA dan MIC berhubung perkara ini. Jangan sorok-sorok, berikan satu gambaran yang jelas kepada rakyat,” kata Loke.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)




